Rusuhan Iran: 185 terkorban, ibu remaja yang mati dipukul pula bunuh diri

Oleh ARIF ATAN

Rusuhan besar-besaran di seluruh bandar di Iran sejak bulan lalu menyaksikan seramai 185 terkorban susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan polis.

Lapor Arab News yang memetik Metro, ibu kepada seorang remaja Iran membunuh dirinya sendiri selepas pasukan keselamatan didakwa memukul anak perempuannya, Sarina Esmailzadeh sehingga mati.

Sarina yang juga YouTuber berusia 16 tahun, terbunuh dalam protes di Karaj bulan lalu tetapi mayatnya diserahkan pihak berkuasa dengan mengejek bahawa remaja itu tidak bermoral dan pengganas.

Remaja itu menyertai protes yang melanda Iran pada 22 September lalu tetapi dipukul hingga mati oleh pasukan keselamatan Iran, dakwa kumpulan hak asasi manusia.

Ketika kesnya mendapat perhatian dunia, pihak berwajib Iran mendakwa Sarina mati membunuh diri dengan terjun dari bumbung.

Selepas akhirnya melihat mayat Sarina yang dipukul, ibunya pulang ke rumah dan menggantung diri, lapor media tempatan dipetik Arab News semalam.

Sarina Esmailzadeh

Sementara itu, Amnesty International dilapor berkata, ejen perisikan menzalimi ahli keluarga remaja berkenaan dalam usaha untuk menutup mulut mereka.

Difahamkan, ibu bapa penunjuk perasaan yang maut yang ingin mengebumikan anak-anak mereka sering dikenakan peraturan keras oleh pihak berkuasa Iran.

Sementara itu, Washington Post kelmarin melaporkan kes Sarina sangat mirip dengan apa ditempuhi Nika Shakarami, 16, yang juga terkorban semasa protes bulan lalu.

Keluarganya mendakwa dia dibunuh oleh pasukan keselamatan selepas membakar tudung tetapi pihak berkuasa Iran mendakwa mangsa jatuh dari bumbung.

Kematian Shakarami, dan percubaan yang jelas untuk menutup punca kematiannya dan menakut-nakutkan keluarganya, memarakkan lagi kemarahan rakyat Iran dan global.

Mahsa, 22, dilaporkan meninggal dunia tiga hari selepas ditahan oleh polis moral di negara terbabit kerana didakwa melanggar peraturan yang mewajibkan wanita Iran berhijab dan berpakaian sederhana.

Wanita muda itu dikatakan tidak memakai tudung secara betul sehingga mencetuskan gelombang unjuk rasa tidak puas hati rakyat Iran.

Kematian gadis Kurdish berkenaan pada 16 September selepas ditahan sekali gus mencetuskan gelombang pergolakan terbesar di Iran dalam tempoh hampir tiga tahun.

Pertempuran antara penunjuk perasaan Iran dan pasukan keselamatan menggegarkan bandar-bandar di seluruh negara.

Kumpulan perusuh dan samseng masing-masing saling melemparkan beberapa bom buatan tangan, menyerang ibu pejabat akhbar harian Tehran, Kayhan yang bersifat ultrakonservatif di Iran, lapor Awani.

Baca juga Risau terperangkap dalam banjir – Ini tiga laman media info berguna patut kerap dilihat

Baca juga Pengorbanan seorang ayah, ‘kejar’ bas demi anak