Rusuhan kuil: Waytha Moorthy kurang bantu perpaduan, lupa dirinya bukan pembangkang

Rusuhan kuil: Waytha Moorthy kurang bantu perpaduan, lupa dirinya bukan pembangkang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dilihat kurang efisien sehingga tercetusnya rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25di Subang Jaya baru-baru ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berpendapat keganasan itu menggambarkan kualiti menteri berkenaan dalam membantu perpaduan negara dan integrasi nasional yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.

“Agak pelik Waytha mempertikaikan peranan polis yang di bawah Kementerian Dalam Negeri diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli politik berpengalaman dari kerajaan PH (Pakatan Harapan).

“Walhal, polis melakukan tindakan terbaik dan berpengalaman menguruskan situasi tersebut. Waytha lupa barangkali, beliau ialah pihak kerajaan dan bukannya pembangkang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Menurut Dr Awang, selaku ahli Kabinet PH, Waytha tidak menggunakan saluran Kabinet sebaliknya menggunakan media melakukan kritikan dan teguran.

Hal ini, jelasnya, mencetuskan keresahan rakyat yang melihat keganasan tersebut sebagai isu nasional yang memerlukan seorang Menteri melihat sebagai isu nasional bukan hanya demi kepentingan kaum.

“Dalam keadaan genting ini, Menteri Perpaduan wajar menyatukan dan tidak mengeruhkan suasana hingga tokoh wartawan negara, Kadir Jassin menegur cara Waytha berdepan dengan insiden itu.

“Kita tak mahu akan ada label sinis kononnya menteri perpaduan negara boleh membawa perpecahan dalam perpaduan negara,” tegasnya.

Loading...

Kredibiliti

Sehubungan itu, Dr Awang berpendapat Waytha perlu membuktikan kredibiliti beliau sebagai menteri perpaduan yang berintegriti dan membawa perpaduan rakyat berbilang kaum sesuai dengan lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.

“Rakyat tentunya mahu melihat Waytha membuat langkah dan tindakan wajar seperti mengunjungi mangsa rusuhan ahli bomba yang menjalankan tugas dan bertindak tegas suarakan sikap tidak mahu perkara ini berulang lagi.

“Langkah pemulihan dan pemutihan kawasan terlibat perlu diumumkannya segera sebagai menteri perpaduan negara,” ujarnya.

Ditanya tentang cara kerajaan menangani rusuhan kuil itu, beliau menyifatkan bahawa hal itu sepatutnya boleh dicegah daripada melarat sehingga dua malam berturut-turut jika ditangani mengikut saluran undang-undang.

“Cara kerajaan menguruskan rusuhan kuil sewajarnya lebih tegas demi memastikan kedaulatan undang-undang terpelihara.

“Ini bukan soal etnik atau kaum. Ini soal hormat, taat dan perlu patuh landasan undang-undang,” tambah Dr Awang lagi.

Rusuhan kuil di tanah yang sudah dimiliki syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd awal pagi, 26 dan 27 November lalu menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah.

Perusuh juga membakar 23 kenderaan serta merosakkan kenderaan polis dan bomba. Seramai 30 individu ditahan polis ekoran rusuhan paling dahsyat dalam tempoh enam bulan pertama pentadbiran kerajaan PH.