Malaysia Dateline

Rusuhan “saya tidak boleh bernafas”: 25 bandar AS ‘berkurung’

Sebanyak 25 bandar di 16 negeri di Amerika Syarikat (AS) menguatkuasakan perintah berkurung ekoran rusuhan “saya tidak boleh bernafas” ketika negara itu paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Semalam, Los Angeles, Philadelphia dan Atlanta turut mengisytiharkan darurat bagi mengekang rusuhan antipolis yang kian merebak ke seluruh AS. Perintah berkurung pada waktu malam juga dikuatkuasakan di Louisville, Kentucky.

Tunjuk perasaan tercetus selepas seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd, 46, maut pada 25 Mei lalu apabila lehernya ditekan dengan lutut menyebabkan dia sukar bernafas.

Rakaman video itu menunjukkan Floyd yang digari merayu berulang kali dengan menyebut “I can’t breathe” (saya tidak boleh bernafas).

Walau bagaimanapun, rayuannya tidak dipedulikan oleh seorang anggota polis kulit putih yang terus menekan leher mangsa selama hampir sembilan minit.

Dia yang ditahan di luar sebuah kedai di Minneapolis, Minnesota dilapor tidak bersenjata dikatakan menggunakan wang kertas palsu.

Tragedi kematian Floyd kemudiannya mencetuskan bantahan besar-besaran terhadap tindakan kejam polis terbabit.

Di Seattle, asap dilihat menyelubungi udara selepas polis anti-rusuhan berada di luar sebuah bangunan.

Di Philadelphia, pasukan keselamatan juga dilihat mengejar sekumpulan individu yang melanggar perintah berkurung.

Dalam masa sama, terdapat kumpulan yang mengambil kesempatan dengan menceroboh premis perniagaan di kawasan perniagaan terkemuka di Melrose Avenue, Los Angeles.

Tunjuk perasaan di South Minneapolis juga menyaksikan premis perniagaan diceroboh.