Rutin kami memang begitu, solat berjamaah setiap waktu
Khalid akan mengerah semua kakitangannya untuk solat berjamaah apabila tiba waktu solat.

Rutin kami memang begitu, solat berjamaah setiap waktu

Semalam anak menantu datang berkumpul kat rumah. Pertemuan sebegini menjadi semakin kerap sejak kebelakangan ini terutama sejak kerajaan tidak berapa stabil ini dan akhirnya bertukar.

“Ayah, benarkah YB Khalid kerah semua kakitangan pejabatnya solat jemaah setiap waktu di pejabat,” tanya seorang menantu saya.

“Dari mana kamu tahu,” tanya saya.

“Kawan saya kebetulan baru bekerja di pejabat ayah. Dia yang bagi tahu. Dia kata, hampir setiap waktu kalau di pejabat YB Khalid akan jadi imam solat,” cerita menantu saya itu tentang apa yang dinyatakan oleh kawannya.

“Ye memang itulah amalan kami. Bahkan setiap minggu, iaitu pagi Rabu ketika YB Khalid pergi mesyuarat Kabinet, kami baca Yassin ramai-ramai bersama semua kakitangan pejabat. Kadang-kadang, kami juga adakan tazkirah ringkas.

“Lepas tu baru kami buat mesyuarat mingguan kami,” kata saya kepada menantu dan anak-anak saya.

“Kenapa hal ni ayah tak cerita sebelum ni,” tanya anak saya ketika mencelah perbualan saya dengan isteri beliau itu.

“Buat apa cerita kat orang. Itu urusan kami dengan Allah dan agama,” kata saya kepada anak dan menantu saya.

Memang sejak kami masuk ke Kementerian Wilayah Persekutuan di Menara Seri Wilayah, itulah amalan kami di bawah pimpinan YB Khalid. Bila masuk waktu sahaja, jika YB Khalid ada di pejabat beliau akan kerahkan semua anak buahnya datang solat jamaah.

Ia bukan berlaku di pejabat menteri di Menara Seri Wilayah sahaja, bahkan juga di pejabat kami di DBKL dan juga Perbadanan Putrajaya.

Atas alasan itu, kasut hanya di benarkan setakat pintu pejabat menteri sahaja. Semua orang termasuk duta-duta asing yang datang berkunjung terpaksa memecat kasut dan tinggalkannya dipintu, apabila membuat kunjungan hormat ke pejabat Menteri Wilayah, Khalid Samad.

Pejabat menteri di Menara Seri Wilayah tidak ada permaidani. Ia berlantai kayu sahaja. Oleh itu, YB Khalid sendiri membawa permaidaninya dari rumah.

Kedudukan permaidani itu juga disesuaikan dengan arah kiblat bagi memudahkan kami solat berjamaah.

Di Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan di Menara DBKL juga Khalid akan mengerah anak buahnya untuk solat jmaah.

Jika YB Khalid takda di pejabat, kami solat secara berjamaah di bilik Setiausaha Politik, Tuan Haji Azli Yusof. Ketika itu, sebagai orang nombor 2 di pejabat, Haji Azli pula menjadi imam kami.

Alhamdulillah rutin ini berjalan terus hingga ke hari-harui akhir Khalid sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Kami solat berjamaah sebelum berbincang dan selepas itu permaidani yang dibawa beliau ke pejabat kami gulong untuk dibawa pulang.

Kini kerajaan sudah bertukar. Menteri baru akan masuk ke Pejabat Menteri di tingkat 4, Menara Seri Wilayah.

Kami sentiasa berdoa, perkara yang baik yang telah kami buat, tolonglah teruskannya. Terutama sekali perkara yang berkait dengan kepentingan rakyat.

Itulah mesej yang saya hantar kepada seorang pegawai kanan KWP ketika membalas mesej terima kasih beliau.

“Terima kasih datuk. Semoga apa yang baik diteruskan, yang buruk dijadikan sempadan… rakyat kena diutamakan bukan kami orang politik ni,” kata mesej saya itu kepada pegawai berkenaan.

Semoga Allah menerima segala kerja baik kami.

 

  • PENULIS ADALAH BEKAS SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA YB KHALID SAMAD.