RUU 355 buka peluang rakyat laksana wahyu Allah

RUU 355 buka peluang rakyat laksana wahyu Allah

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam ucapannya di Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 mengaitkan pindaan akta tersebut dengan peluang untuk melaksanakan wahyu Allah.

Menurutnya, pindaan bagi meningkatkan hukuman di bawah Mahkamah Syariah itu penting bagi mencegah berlakunya kes jenayah.

“Kalau dapat kita pinda akta (355) kepada 30 tahun penjara dan RM 100,000 denda maka berpeluang untuk kita kepada kepada pelaksanaan wahyu Allah.

“Kita dapat membebaskan banyak perkara yang membawa kerosakan kepada masyarakat kita dengan terpindanya Akta 355 ini,” ujarnya.

Ahmad Yaakob yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berharap seluruh ahli parlimen beragama Islam menyokong pindaan akta tersebut pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

“Kita hari ini berhimpun dengan satu matlamat (menyampaikan) suara rakyat melalui saluran demokrasi berparlimen dan ini hendaklah dizahirkan oleh ahli parlimen pada sidang akan datang.

“Kita minta semua MP (ahli parlimen) Islam istiqamah dan beri sokongan penuh kerana pindaan kita ini untuk membuka ruang luas kepada pelaksanaan undang-undang daripada wahyu Allah swt,” tegasnya lagi.

Dianggarkan 30,000 orang menyertai himpunan tersebut termasuk pelajar tahfiz dan pelajar universiti.

Peserta Himpunan RUU 355 memenuhi Padang Merbok

Menyatakan rasa terharunya terhadap kehadiran peserta, beliau menyifatkan mereka melakukan amalan baik.

“Tuan puan termasuk dalam amalan baik dan dimuliakan di sisi Allah kerana kita memartabatkan mahkamah syariah,” ujarnya di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Pada 24 November lepas, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

 

COMMENTS

Wordpress (0)