RUU 355: Kerajaan wajar ambil alih, hentikan polemik, kata Ikram

RUU 355: Kerajaan wajar ambil alih, hentikan polemik, kata Ikram

 

Pertubuhan Ikram Malaysia mencadangkan agar kerajaan mengambil alih Rang Undang-undang Akta 355 (RUU355) dan seterusnya mengemukakan pindaan ke Parlimen.

Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, penangguhan perbahasan baru-baru ini telah menyebabkan masyarakat terus berpolemik.

“Ikram ingin menegaskan kembali kenyataan yang pernah dikeluarkan pada 31 Mei 2016 bahawa Kerajaan adalah pihak yang paling wajar untuk mengemukakan pindaan ini ke Parlimen.

“Penangguhan perbahasan ini telah menyebabkan masyarakat terus berpolemik, saling salah menyalahkan dan yang lebih parah sehingga membawa kepada tindakan mengkafirkan pihak yang dikatakan tidak menyokong usul tersebut.

“Ikram menyeru agar polemik ini dihentikan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Ikram mengikuti isu RUU 355 secara dekat dengan perkembangan terkini ia telah dibentang dan disokong di Parlimen pada 6 April 2017 (Khamis), tetapi ditangguhkan perbahasannya.

Presiden MIC kemudiannya mendedahkan bahawa apa yang berlaku dalam sidang Parlimen, iaitu pembentangan usul sahaja tanpa sebarang perbahasan, telah dibincangkan dan disepakati dalam Mesyuarat Majlis Barisan Nasional minggu lepas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pada Mei 2014, telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syariah yang terdiri daripada para pakar Undang-undang dan Syariah, bagi mengkaji perlaksanaan Undang-undang Jenayah Syariah.

“Ikram menyarankan agar Kerajaan merujuk kepada Jawatankuasa ini dalam melakukan sebarang pindaan dan penambahbaikan secara menyeluruh.

“Jawatankuasa ini boleh melakukan kajian secara mendalam serta berbincang dengan pelbagai pihak dan pemegang taruh sebelum membangunkan satu rang undang-undang yang mantap dan disepakati,” katanya.

Bagi beliau, kerajaan adalah pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab bagi menguruskan semua pindaan undang-undang.

“Adalah wajar kerajaan meneruskan tanggungjawab ini!” katanya.

TAGS
Share