RUU 355: Masukkan sekali khidmat masyarakat, saran Khalid

RUU 355: Masukkan sekali khidmat masyarakat, saran Khalid

Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) menyarankan supaya hukuman berbentuk khidmat masyarakat dimasukkan dalam pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang).

Khalid Samad  berkata usul Hadi banyak kelompangannya yang perlu dibahas.-Foto Malaysia Dateline Wan Zahari Wan Salleh

Khalid Samad (Amanah-Shah Alam) menyarankan supaya hukuman berbentuk khidmat masyarakat dimasukkan dalam pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang).

 Menurutnya, pendekatan hukuman bagi jenayah syariah itu lebih menepati matlamat kemanusiaan dan keadilan berbanding cadangan 30 tahun penjara dan RM100,000 denda seperti dibentang Abdul Hadi sebelum ini.

“YB Marang pinda usul ini. Masukkan sekali khidmat masyarakat. Orang yang didapati bersalah buat khidmat masyarakat. Yang tidak solat Jumaat, pergi cuci masjid sebulan. Kata tidak mahu ikut cara Barat.

“Yang ditangkap khalwat bantu anak yatim supaya boleh lihat berapa ramai anak luar nikah juga ditempatkan di rumah anak yatim. Kenapa hadkan hukuman kepada RM100,000 dan 30 tahun penjara?” soalnya pada Sidang Parlimen Rakyat Edisi Khas Pakatan Harapan malam tadi.

Pengarah Komunikasi Amanah itu juga berpendapat kedua-dua hukuman denda dan penjara maksimum itu berkaitan dengan hasrat untuk menjadikan kedudukan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Majistret.

“RM100,000 denda dan 30 tahun penjara ini datangnya dari mana? Datang dari keinginan untuk samakan kedudukan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Majistret tetapi itu bukan hujah syarie.

“Itu bukan satu hujah yang perlu kita terima kerana taraf mahkamah tidak boleh dilihat dari segi hukuman,” tegasnya lagi.

Sidang Parlimen Rakyat Edisi Khas Pakatan Harapan di Invoke Malaysia, Sungai Besi diadakan ekoran usul persendirian Hadi pada 6 April lalu yang tidak membuka ruang kepada Ahli Parlimen Pakatan Harapan untuk berbahas.

Khalid selanjutnya berpendapat jumlah hukuman denda dan penjara itu menggambarkan sistem mahkamah sedia ada seolah-olah mengongkong pemikiran.

“Sedangkan kita mahu menunjukkan Mahkamah Syariah ini lebih baik lebih bermatlamatkan kebajikan dan kasih sayang. Apa salahnya masukkan hukuman khidmat masyarakat sebagai salah satu bentuk hukuman?

“Hanya kita melihat usul Hadi banyak kelompangannya yang perlu dibahas. Saya khuatir kalau RUU 355 memang tidak mahu dibahas kerana tidak mahu nampak kelompangannya.

“Kita bukan membantah (pindaan Akta 355). Amanah menyokog penuh usaha memperkasakan Mahkamah Syariah tetapi persoalannya, dengan ditingkatkan hukuman semata-mata maka Mahkamah Syariah itu diperkasakan?,” jelasnya.

Seramai 10 Ahli Parlimen mewakili Amanah, PKR dan DAP menyertai sidang Parlimen Rakyat yang berlangsung mulai pukul 8.30 malam sehingga 11 malam itu dengan Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh bertindak sebagai Speaker.

Sidang Parlimen Rakyat Edisi Khas Pakatan Harapan yang disertai 10 ahli parlimen Pakatan Harapan.

TAGS