RUU 355 tiada dalam senarai pembentangan?

RUU 355 tiada dalam senarai pembentangan?

Usul rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355) tidak akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat penggal kelima ini.

Hanya empat RUU dibentangkan pada sidang sehingga 6 April depan seperti disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said semalam.

Antara RUU yang akan melalui bacaan kedua dan ketiga adalah RUU Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016; RUU Kebankrapan (Pindaan) 2016; RUU Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016; dan RUU Setem (Pindaan) 2016.

Semalam, Naib Presiden Pas Idris Ahmad yang juga adalah ahli Parlimen Bukit Gantang berharap RUU itu dibentangkan kali ini.

“Kita harap ia akan dibentangkan. Itu kita harap. Kita harap juga kerajaan terutamanya, ada inisiatif dan keberanian supaya membenarkan RUU dibentangkan,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.

Usul pindaan Akta 355 yang dibuat Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi pada 26 Mei tahun lalu belum sempat dibentang atau dibahaskan ekoran kerap kali bertukar nombor giliran termasuk ditangguhkan sendiri sebanyak dua kali atas permohonan Presiden Pas itu.

Selepas ditangguhkan pada 26 Mei dan 24 November, Pas mengerahkan ahli dan penyokongnya hadir ke program ceramah menyokong RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu.

Turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, beliau dalam ucapannya di hadapan peserta himpunan berbaju ungu itu memberitahu kehadirannya di himpunan itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penampilan pemimpin Umno sepadang dengan pimpinan Pas itu lanjutan daripada aksi kedua-dua parti berkenaan sekapal dalam misi bantuan ke Myanmar pada 3 Februari lalu.

Terdahulu, Abdul Hadi juga sepentas dengan Najib yang juga Presiden Umno pada himpunan atas nama kepentingan etnik Rohingya di Stadium Titiwangsa di ibu negara, 4 Disember tahun lalu serta berpakaian sedondon dalam Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia, 18 Disember 2015.

COMMENTS

Wordpress (0)