RUU 355: Umno-Pas nafi saling diperguna

RUU 355: Umno-Pas nafi saling diperguna

Umno dan Pas menafikan parti itu saling dipergunakan untuk kepentingan politik masing-masing dalam isu membabitkan pindaan Rang Undang-Undang 355 (RUU355).

Datuk Dr Asyraf Wajdi DusukiTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Akta 355 yang diperkenalkan kerajaan pada 1965 sudah mengalami dua kali pindaan pada 1984 dan 1989.

Pada 2004 kerajaan ujarnya, telahpun membuat cadangan pindaan kepada Akta 355 ini melalui Jawatankuasa Penyelarasan Undang- Undang Syarak dan Sivil di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kalau kata Umno mempergunakan Pas, kebetulan sahaja Pas nak bawa rang undang-undang persendiriannya, sedangkan kerajaan Persekutuan sudah lama berhasrat untuk memartabatkan mahkamah syariah.

“Bagi kerajaan kita melihat ia secocok dengan apa yang kerajaan Umno hasratkan untuk memartabatkan mahkamah syariah.

“Kalau ada orang tanya mengapa Pas melakukannya bersama kerajaan persekutuan – isunya macam telur dengan ayam yang mana dulu?.

“Walaupun Pas bentangkan sebagai RUU persendirian akhirnya kerajaan juga perlu ambil alih untuk lalui proses seterusnya sebagai bacaan pertama sebelum penyata itu dikemukakan kepada dewan.

“Kerajaan Persekutuan kena buat penelitian dulu terhadap cadangan RUU 355 kepada Peguam Negara sebelum dibawa ke parlimen dan dibahaskan dan sekiranya diluluskan barulah di bawa ke dewan negara.

“Saya sebutkan ini supaya kita jelas jangan ingat buat Himpunan RUU 355 baru-baru ini atau Pas bentang RUU di Parlimen ia sudah selesai. Sedangkan cerita dan prosesnya masih lagi panjang,” ujarnya.

Asyraf Wajdi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, dalam isu membabitkan RUU 355 semua pihak disarankan tidak beremosi dan bercakap tanpa ilmu dan fakta.

“Jangan risau kita guna sistem demokrasi berparlimen. Parlimen sebagai platform terbaik untuk berbahas, cuma yang saya hairan kenapa sebelum masuk parlimen kita jadi fobia untuk bahaskan RUU?

“Kalau Umno mengunakan Pas memang hebatlah Umno dan hebat juga Pas sedia dipergunakan. Selama Umno dan Pas bermusuh inilah kali pertama Pas sedia untuk dipergunakan. Apa salahnya kan…” ujarnya berseloroh.

Asraf Wajdi berkata demikian ketika menjawab soalan daripada moderator Pengarah Hubungan Korporat Pas Roslan Shahir Mohd Shahir dalam slot Bicara Harakah dengan topik perbincangan mengenai Pasca Himpunan RUU 355 bertajuk `Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera’ di pejabat Harakah semalam.

Nasrudin Hassan TantawiRoslan turut bertanyakan soalan sama kepada Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan Tantawi apakah betul Umno mengunakan Pas?

Kata Nasrudin pula, apa yang Pas-Umno lakukan hari ini adalah tanggung jawab dan prinsip sebagai seorang muslim terhadap agama yang dianuti.

“Dalam isu pindaan RUU menjadi ‘turning point’ umat Islam bangkit mempertahankan hak mereka tanpa mencurigai satu sama lain.

“Apabila dipersoalkan betul ke Umno peralatkan Pas dan Pas rela diperalatkan?

“Saya kata apabila ini sesuatu untuk Islam… tidak berbangkit soal siapa peralatkan siapa, ini tanggung jawab bersama.

“Tanggung jawab kerajaan pada bidangnya dan tanggung jawab Pas pada keupayaannya. Kita bertemu di satu titik untuk bekerjasama dalam memastikan undang-undang pentadbiran agama Islam ini diperkasakan.

“Walaupun kita tidak mampu laksanakan semua, tetapi pada tahap yang ada hari ini, kita ada kaedahnya bagaimana untuk dilaksanakan,” ujar Ahli Parlimen Temerloh ini.

Nasrudin berkata dengan RUU 355 ini adalah peluang bagi Pas untuk lakukan pindaan.

“Kalau kita boleh bersabar puluhan tahun lamanya (menegakkan syariat Islam) kenapa tidak boleh pada detik ini kita juga beri masa yang sewajarnya untuk kita perbaiki hak pelaksanaan syariat Islam dalam negara kita.

“Kita ibarat sedang berjalan di atas lantai yang licin. Jangan gopoh, kena berhati-hati. Jika kita fikir nak cepat dengan apa yang mahu dicapai dan akhirnya kita kalah… banyak proses perlu dilalui dan dicermati.

“Jangalah nak dipersalahkan pihak satu sama lain,” ujarnya.

Turut dijemput sebagai panelis bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khaled Ibrahim yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak.

(dari kiri) Nasruddin Hassan Tantawi, Roslan Shahir, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Tan Sri Khaled Ibrahim dalam slot Biccara Harakah yang membincangkan Pasca Himpunan  RUU 355 yang diadakan di pejabat Harakah semalam.

 

TAGS