RUU 355 wajib disokong, kata Abdul Hadi

RUU 355 wajib disokong, kata Abdul Hadi

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat usul rang undang-undang persendirian 355 (RUU 355) yang bakal dibentangkan beliau buat kali ketiga wajib disokong kerana ia mempunyai hubungan dengan akidah, kepercayaan kepada syariat Islam dan akhlak terhadap anutan agama.

Malah umat Islam, ujarnya perlu merasa terpanggil “tanpa bahas dan debat” apabila kedudukan Islam dihina atau direndahkan.

Beliau turut mengkritik golongan Islam yang disifatkan hilang kemanisan iman dan akhlak luhur apabila memandang serong terhadap syariat Allah dengan berbagai dalih.  

Beliau juga yakin umat Islam yang lemah iman dan tidak mempunyai ilmu agama yang tinggi juga pasti terhina apabila membaca kedudukan Islam di dalam perlembagaan negara.

Generasi terdahulu, katanya telah meminda sebanyak dua kali Akta 355 mengikut kemampuan namun akta berkaitan hukuman syariah itu “masih rendah dan hina”.

Dalam tulisannya yang disiarkan laman portal rasmi Pas, Harakahdaily beliau memberikan beberapa contoh pandangan ulama yang mengharuskan umat Islam memegang jawatan dalam sistem pentadbiran bukan Islam bagi mengambil setiap peluang yang ada untuk melaksanakan syariat Islam sekadar termampu.

“RUU 355 adalah mencegah kemungkaran warisan penjajah terhadap Hukum Allah di zaman kita sudah merdeka secara berperingkat dengan wajib disokong dan didukung oleh penganut Islam dan bukan Islam yang peka berkenaan hak umat Islam dan tidak menghalang untuk melihat ruang Islam dilaksanakan walaupun pada kadarnya yang masih terhad.

“Kalau undang-undang ciptaan manusia daripada berbagai negara dan bangsa diizinkan untuk dilihat pelaksanaannya walaupun terus menerus gagal dan mendera rakyat, tanpa kejayaan mengurangkan jenayah termasuk yang paling berat, mengapa usaha kembali semula kepada Syariat Islam dihalang dan dihina?” tulisan beliau dipetik.

Beliau turut mengingatkan ahli-ahli Pas bahawa kemenangan di akhirat hanya bersama Islam walaupun siapa pembawanya.

“Menang pilihan raya sahaja tanpa menang di akhirat  jawapannya kosong. Tujuan kita menang kedua-duanya, namun kemenangan akhirat tetap menjadi pilihan,” tegas beliau.

TAGS