RUU Anti Lompat Parti dibentang minggu depan

Oleh ARIF ATAN

Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada minggu depan.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata pindaan bagi menghalang wakil rakyat daripada bertukar parti itu perlu dilakukan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya.

“InsyaAllah, minggu depan bacaan kali pertama, akan dibentangkan pindaan Akta Anti Lompat Parti.

“Akta Anti Lompat Parti ini kena buat. Kalau tidak pilihan raya umum akan datang, rakyat yang duduk di Australia, Taiwan, Dubai dan lain-lain negara lagi tidak mahu balik mengundi,” katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata demikian ketika Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor malam tadi.

Beliau berkata, Umno iaitu parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN) juga menolak gejala ‘jual beli’ ahli politik selepas menang pilihan raya.

“Umno pun tidak mahu lompat parti. Yang lompat itulah bersama Mahiaddin Yassin menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton,” tegasnya.

Untuk rekod, peristiwa Langkah Sheraton pada Februari 2020 mengakibatkan pertukaran kerajaan Persekutuan dan beberapa pentadbiran negeri.

Lompat parti yang berlaku dilihat sebagai mengkhianati mandat diberikan pengundi telah menjejaskan kestabilan negara.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, RUU Anti Lompat Parti bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

“Mahu bagi keyakinan semula rakyat kepada demokrasi maka Pakatan Harapan sanggup tandatangan MoU dengan kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri.

“Salah satunya mesti buat Akta Anti Lompat Parti,” tegasnya merujuk pada Perkara 2.4 MoU berkenaan perlunya RUU tersebut dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac depan.

Untuk rekod, MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021.

MoU tersebut antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

Dewan Rakyat RUU Anti Lompat Parti Presiden AMANAH Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mohamad Sabu
RUU Anti Lompat Parti merupakan hasrat PH dan kerajaan seperti termaktub dalam MoU.