Malaysia Dateline

RUU anti lompat parti diluluskan, kegembiraan terserlah di kem PH

Kegembiraan terserlah di kem Pakatan Harapan (PH) selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan.

Pindaan itu diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan iaitu 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, hak rakyat berjaya didapatkan kembali ekoran tindakan sekumpulan wakil rakyat keluar daripada gabungan PH tiga tahun lalu.

Naib Presiden AMANAH itu menegaskan tindakan mereka itu tidak lebih kerana mengutamakan kepentingan diri semata-mata.

“Kami telah menebus kembali hak rakyat setelah beberapa Ahli Parlimen memburukkan imej ahli Dewan Rakyat dengan adegan melompat demi kepentingan dan habuan peribadi,” katanya di Twitter.

RUU itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu tetapi dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut susulan tafsiran Perlembagaan.

Bacaan kedua RUU tersebut telah dibaca, dibentang dan dibahaskan semalam di Dewan Rakyat.