RUU Antiberita Tidak Benar: Kerajaan keliru tujuan, halang kebebasan bersuara rakyat

RUU Antiberita Tidak Benar: Kerajaan keliru tujuan, halang kebebasan bersuara rakyat

Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 disifatkan sebagai satu pengubalan undang-undang yang memihak kepada kerajaan Umno-BN dan tidak menjaga hak kebebasan bersuara rakyat kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, amat jelas kerajaan keliru dan tidak tahu tujuan sebenarnya untuk mengubal undang-undang tersebut.

“Tujuan undang-undang ini digubal adalah politikal, tidak ada sama sekali niat untuk menjaga hak rakyat supaya tidak ada tuduhan palsu terhadap mereka.

“Amat jelas sekali mereka keliru dan tidak tahu apa sebenarnya tujuan (gubal undang-undang) selain daripada tujuan politik.

“Ini kerana mereka adakan satu lagi undang-undang sedangkan undang-undang lain (sedia ada) sudahpun cukup, tetapi dibuat (digubal) dengan cara yang boleh beri kerajaan kuasa untuk menahan pengkritik kerajaan.

“Sebaliknya kita (pembangkang) buat kenyataan yang benar dinafikan mereka. Maka tidak ada tindakan akan diambil kerana keputusan itu akan terpulang kepada pendakwaraya,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Dr Mahathir dan beberapa pimpinan pembangkang antaranya Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke taklimat penerangan dikalangan ahli parlimen pembangkang hari ini.

Taklimat selama sejam itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdan Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan dikalangan menteri serta pegawai dibeberapa kementerian dan Jabatan Peguam Negara.

Semalam RUU Antiberita Tidak Benar 2018 telah dibentangkan di Parlimen bagi pendengaran kali pertama.

Sebahagian daripada 14 fasal yang terkandung dalam RUU tersebut memperuntukan hukuman denda hingga RM500,000 atau 10 tahun penjara terhadap individu yang didapati bersalah.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu ini turut berkata, jika pendakwaraya mendapati sesuatu berita itu bukan berita palsu, pendakwaraya boleh membuat keputusan berat sebelah untuk tidak mengenakan sebarang tindakan mahkamah.

Beliau merujuk kepada perkara yang pernah membabitkan Bank Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu 1MDB dan derma RM2.6bilion membabitkan dakwaan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Perkara ini kita sudah lihat dalam kes pendakwaraya yang menolak laporan tiga pihak iaitu Bank Negara,PAC dan MACC.

“Tujuan undang-undang untuk menyekat parti lawan menyuarakan sebarang kritikan kepada kerajaan,” ujarnya.

Bekas perdana menteri 22 tahun ini juga berkata, kerajaan tidak perlu untuk meluluskan rang undang-undang ini dalam sidang dewan rakyat kali ini.

” Kita tidak perlu luluskan undang-undang di penghujung parlimen kerana undang-undang ini amat serius kerana banyak bantahan daripada orang ramai.

“Perlu beri masa untuk dibahaskan apabila parlimen bersidang semula selepas pilihan raya,” ujarnya.

Bahkan beliau berkata, negara ini juga sudah mempunyai banyak peruntukan undang-undang yang boleh dilaksanakan bagi mengekang berita tidak benar.

“Kita ada banyak undang-undang yang serupa.Tidak patut ditambah lagi undang-undang baru,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan berkaitan penggunaan logo dalam menghadapi pilihan raya.

Pengerusi Bersatu ini berkata, ia akan diumumkan selepas mesyuarat minggu depan.

2.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 5.0
CATEGORIES