Malaysia Dateline

RUU Antiberita Tidak Benar: Sekat suara rakyat, rampas pilihan raya

Ahli Parlimen AMANAH Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli bimbang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 hanya bertujuan menjaga kepentingan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya ini.

Menurutnya, akta baharu berkaitan berita palsu itu nanti akan menjerut kebebasan bersuara rakyat Malaysia walaupun sudah termaktub dalam semangat Perlembagaan.

“Akta ini nampaknya akan disegerakan dalam sidang kali ini. Dijangkakan esok akan dibentang dan dibahaskan. Paling lama pun satu hari itulah mesti diundi.

“Kita pun sudah mendengar pelbagai kritikan pelbagai pihak bahawa akta berita palsu ini semata-mata menghalang kritikan kepada kerajaan khususunya atau individu-individu yang hendak dilindungi.

“Sebenarnya dari segi roh menghalang kebebasan untuk bersuara di kalangan rakyat Malaysia sedangkan dibenarkan Perlembagaan,” tegasnya ketika ditemui di kawasan Tugu Negara sempena perarakan menolak penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Dr Hatta menyifatkan pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada sudah jauh mencukupi jika benar kerajaan mahu menangani penyebaran berita palsu.

“Memang apa jua akta yang ada dalam bab menipu, menghina dan memfitnah semua boleh dibawa ke mahkamah dengan peruntukan undang-undang sedia ada baik tuduhan tribunal atau pun tuduhan sivil. Boleh kemukakan saman dan sebagainya.

“Jadi, apa perlunya kita merangka akta sebegini dalam keadaan terdesak dan perlu disegerakan melainkan kerana kita akan menghadapi pilihan raya,” bidasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat akta tersebut diguna untuk menakut-nakutkan rakyat daripada menjalankan kempen untuk menolak kepimpinan Datuk Seri Najib.

“Inilah cara-cara BN merampas pilihan raya. Kalau lulus hari esok, memang kerajaan masih ada masa untuk menggazetkannya menjadi undang-undang dan terpakai semasa pilihan raya.

“Jadi kita harap rakyat Malaysia tetap tegas berdiri teguh tidak tergugat dengan undang-undang ini. Kita akan lawan yang pentingnya kita akan tumpaskan BN pada pilihan raya akan datang,” tambahnya.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat.

“Berita palsu” dalam RUU itu ditakrifkan sebagai “apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.