RUU Cukai Jualan 2018 diluluskan Dewan Negara

RUU Cukai Jualan 2018 diluluskan Dewan Negara

Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018 selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran mengumumkan RUU menggantikan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) itu diluluskan tanpa pindaan menerusi undi sebulat suara.

RUU itu dibentang untuk bacaan kali ketiga oleh Guan Eng dan disokong Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Kelulusan RUU itu sekali gus menepis dakwaan kononnya Ahli Dewan Negara dari Barisan Nasional (BN) akan mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan cukai itu, pada 1 September ini.

Ketika menggulung perbahasan, Guan Eng berkata, pelaksanaan akta ini bagi menggantikan GST adalah untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

“Memang tidak dinafikan GST lebih berkesan dan telus. Ia efisien kerana kutip lebih banyak cukai tetapi menjadi masalah kepada tanggungan bagi golongan B40.

“Saya tidak mengatakan SST akan mengurangkan harga barang. Harga barang mungkin naik tetapi kesannya lebih ringan berbanding GST.

“Saya juga tidak akan membuat ramalan yang berani seperti bekas Timbalan Menteri Kewangan dulu yang menyatakan dengan GST, harga barang akan turun. Ia teori saja tetapi yang berlaku sebaliknya,” katanya seperti dilaporkan hari ini.