Malaysia Dateline

RUU Guaman Syarie diharap tidak ditentang ahli parlimen, kata peguam

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berharap Rang Undang-undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah Persekutuan) yang dibentangkan di Parlimen semalam akan diluluskan tanpa halangan.

Presidennya, Musa Awang berkata, RUU Guaman Syarie diharap tidak mendapat tentangan dari mana-mana ahli parlimen sama ada dari blok pembangkang mahupun blok kerajaan.

Ini kerana katanya, RUU tersebut bukan sahaja dapat mengangkat profesionalisme Peguam Syarie di negara ini, malah dapat membantu menyelesaikan masalah ketidakseragaman dan ketidakselarasan amalan undang-undang di antara negeri.

“Sebelum ini, Peguam Syarie hanya dikawal selia melalui Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri yang mempunyai peruntukan berhubung kelayakan, penerimaan masuk, tindakan disiplin dan tatatertib yang berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

“RUU ini tidak akan menjejaskan mana-mana pihak, tetapi akan menjadi pencetus kepada usaha memartabatkan Mahkamah Syariah di negara ini kerana Peguam Syarie adalah sebahagian daripada institusi tersebut.

“Cadangan RUU Guaman Syarie mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk JAKIM, Jabatan Peguam Negara, JKSM, PGSM. Kami juga mengambil maklum bahawa bidangkuasa agama Islam adalah terletak dalam bidangkuasa negeri. Oleh itu, RUU Guaman Syarie ini tidak sesekali melangkaui bidang kuasa Negeri dan Persekutuan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,”katanya.

Menerusi kenyataan itu juga, Musa Awang berkata, perbincangan menggubal undang-undang tersebut mengambil masa sejak tahun 1984 sebelum akhirnya pada kali ini ia berjaya direalisasikan.

Katanya, biarpun RUU Guaman Syarie yang dibentangkan hanya berkuatkuasa dalam Wilayah Persekutuan sahaja, namun ia bakal menjadi model undang-undang untuk dijadikan panduan dan contoh penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie ke negeri-negeri lain.