Malaysia Dateline

RUU kawal selia biaya politik dibentang pada Oktober

Rang Undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan politik dijangka dibentangkan pada sesi parlimen bulan depan, kata Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed.

The Star memetik Abu Kassim sebagai berkata undang-undang untuk menubuhkan badan penyiasat juga mungkin dibentangkan, sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Malaysia bebas daripada rasuah.

Bagaimanapun tiada maklumat diberikan mengenai akta berkenaan.

Pada Januari lalu, Abu Kassim berkata parti politik perlu mendedahkan semua sumber pembiayaan, termasuk derma dan tindakan punitif akan dikenakan jika tidak dipatuhi.

Undang-undang pembiayaan politik pertama kali dicadangkan pada tahun 2015 selepas tercetusnya skandal 1MDB dan dakwaan bahawa Najib menerima AS$681 juta dalam akaun peribadinya.

Bagaimanapun rang undang-undang ketika kerajaan BN itu tidak pernah dibawa ke Parlimen.

Sementara itu, Abu Kassim berkata rang undang-undang mengenai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) juga mungkin diluluskan pada bulan Oktober.

Rang undang-undang IPCMC dibentangkan pada bulan Julai lalu tetapi tidak dibahaskan lagi.

Sesi parlimen akan datang adalah dari 7 Okt hingga 5 Dis.

Pada masa ini, empat hari pertama dan empat hari terakhir di parlimen telah diperuntukkan untuk urusan kerajaan, manakala baki hari-hari yang lain ditetapkan untuk perbahasan Belanjawan 2020.