RUU kerajaan akan diselesaikan dulu sebelum Akta 355, kata Asyraf Wajdi

RUU kerajaan akan diselesaikan dulu sebelum Akta 355, kata Asyraf Wajdi

 

 

Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usul persendirian Rang Undang-undang (RUU) 355 akan mengikut prosedur dan aturan mesyuarat Parlimen yang memerlukan semua Rang Undang-undang Kerajaan diselesaikan terlebih dahulu.

Menurutnya, versi RUU 355 yang dicadangkan Pas akan terbuka kepada perbahasan dalam Dewan Rakyat jika dibentangkan.

“Apabila dibahaskan terserah kepada proses demokrasi berparlimen untuk membincangkan secara tuntas pro dan kontra setiap aspek dalam pindaan yang dicadangkan.

“Jika ditakdirkan RUU 355 ini diterima kelak selepas dibahaskan dengan majoriti mudah, maka RUU ini diletakkan di bawah tanggungjawab kerajaan bagi menyediakan penyata kerajaan,” jelasnya dipetik dari Utusan Online.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu menganggap ramai yang keliru sehingga membuat andaian kerajaan seolah-olah menolak RUU 355 apabila Najib Razak mengumumkan kerajaan tidak membentangkan RUU 355, sebaliknya kekal sebagai usul persendirian yang dibawa Pas.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan seterusnya akan meneliti kembali pelbagai aspek dalam cadangan awal pindaan yang dibuat Pas sama ada untuk meminda bagi tujuan menambah baik atau kekal mengikut versi asal apabila RUU355 sudah menjadi penyata kerajaan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat yang berbilang agama, perlu mengambil kira semua faktor termasuk aspek yang menjadi polemik dan kekeliruan di kalangan rakyat terhadap cadangan pindaan RUU 355 yang dikemukakan Pas.

“Justeru, tidak timbul kerajaan menolak Akta 355 ini kerana akta ini adalah milik kerajaan. Cuma yang membezakan adalah dicadangkan untuk dipinda oleh PAS sebagai usul persendirian,” ujarnya.

Menasihatkan supaya tidak terus “berpolemik dan menanggung dosa kering memfitnah”, Asyraf Wajdi menegaskan kerajaan tetap istiqomah memartabatkan institusi mahkamah syariah sejak Akta 355 diperkenalkan kerajaan pada 1965 sebelum dipinda buat kali pertama pada 1984 dan kali kedua 1989.

“Persoalan yang lebih mendasar, apakah parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan terutamanya Amanah, PPBM dan PKR, adakah bersedia menyokong RUU 355 ini jika Pas membentangkannya kelak di Parlimen?” soalnya pula.

TAGS