Malaysia Dateline

RUU langkah sementara pembiayaan COVID-19 diluluskan

Selepas mendapat sokongan menerusi undian suara di Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (Covid-19) 2020, diluluskan hari ini.

Selepas kelulusan bacaan ketiga itu, perbekalan tambahan sebanyak RM45 bilion akan disalurkan ke Kumpulan Wang Covid-19.

Ia turut membolehkan kerajaan menaikkan had statutori jumlah wang yang berupaya diperoleh mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 hingga ke paras 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata, tarikh kuat kuasa akta tersebut bermula pada 27 Februari lalu hingga 31 Disember 2022.

“Kenaikan had ini adalah suatu langkah sementara dan akan kembali kepada had 55 peratus KDNK pada tahun 2023,” katanya ketika penggulungan RUU itu di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pakej rangsangan ekonomi negara yang dilaksanakan kerajaan adalah daripada pinjaman domestik kerana negara mempunyai tahap kecairan kewangan yang mencukupi sekitar RM146 billion, sekali gus merendahkan risiko pertukaran mata wang asing.

“Buat masa ini, kerajaan akan menggunakan instrumen pembiayaan dalam negeri kerana ia dapat mengurangkan pendedahan risiko tukaran asing serta risiko pembiayaan semula,” katanya.

Menurutnya, sebarang penerbitan bon atau sukuk antarabangsa perlu mempunyai objektif yang strategik terutama dalam membangunkan pasaran sukuk global serta mewujudkan tanda aras baharu sebagai ukuran dan rujukan untuk penerbitan sekuriti sektor swasta buat pelabur antarabangsa.

“Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan penurunan nisbah Keperluan Rizab Berkanun sebanyak 100 mata asas kepada dua peratus pada Mac 2020 serta fleksibiliti SRR tambahan yang diberikan kepada Peniaga Utama dengan mengiktiraf MGS dan MGII sebagai sebahagian daripada pematuhan SRR.

“Langkah ini telah menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM30 bilion ke dalam sistem perbankan dan ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BNM dalam memastikan mudah tunai adalah mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan kewangan,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata BNM juga telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 1.75 peratus, iaitu paras terendah sejak 2004.