RUU Mahkamah Syariah perlu penjelasan terperinci, kata pakar Perlembagaan

RUU Mahkamah Syariah perlu penjelasan terperinci, kata pakar Perlembagaan

Rakyat perlu diberi penjelasan terperinci berhubung pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) berkaitan pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) di Dewan Rakyat.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata kurang penjelasan dan salah tafsiran RUU itu adalah antara faktor yang mengundang bantahan pelbagai pihak kononnya ia sebagai langkah memperkenalkan hukum hudud.

Katanya Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang mengemukakan usul RUU itu di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu, sepatutnya tampil ke hadapan bagi penjelasan supaya ia dapat difahami oleh semua orang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengupas buku ‘Negara Maslahah: Pemikiran Al-Ghazali dalam konteks Politik Malaysia’ hasil tulisan Tan Sri Dr Alies Anor Abdul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Shamrahayu, yang merupakan pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menjelaskan RUU berkenaan hanya melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah dan bukannya tentang hudud seperti yang difikirkan oleh pelbagai pihak.

COMMENTS

Wordpress (0)