RUU MKN 2015: Malaysia tuju sebuah ‘negara diktator’ kata MP Kuala Terengganu

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad melahirkan kebimbangannya mengenai Rang Undang- undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN ) 2015 dakwanya tidak dirujuk kepada  ahli dewan rakyat  dan dibuat secara terburu-buru sebelum akta itu dibentangkan di Parlimen minggu lalu.

RUU MKN jika diluluskan akan membawa Malaysia ke arah ‘negara diktator’ jadi kepada siapa lagi rakyat boleh mengadu dan merayu apabila hampir semua kuasa berpusat di tangan hanya seorang yang dipanggil Perdana Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Malah beliau berkata tiada lagi  imbang periksa bagi memastikan tidak berlaku salah guna kuasa yang bertentangan dengan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

 “ Sudah tidak ada lagi ‘check and balance’ untuk memastikan tidak berlaku salah guna kuasa di bawah Artikel 150 pasal perlembagaan Malaysia. Yang Di Pertuan Agong mesti terdahulu berpuashati  sebelum  institusi memerlukan pengisyhtiharan darurat.

“Apa yang amat merunsingkan adalah ‘trend’ yang kelihatan berlaku kebelakangan ini berkaitan tindakan kerajaan dan Perdana Menteri.

“Pihak yang memberi pandangan kritikal atau dijangka boleh mengancam kedudukan Perdana Menteri dikenakan tindakan seperti yang berlaku kepada Peguam Negara, Timbalan Ketua Siasatan Negara, Timbalan Ketua Siasatan Special Branch Polis Diraja Malaysia, Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Timbalan Menteri dan Naib Presiden Umno,” ujar bekas pemimpin PAS ini.

Selaku Pengerusi Parti Amanah Negara Terengganu (Amanah), beliau berkata, apabila Majlis Raja-raja Melayu menggesa kerajaan menyelesaikan isu 1Malaysia  Development Berhad (1MDB), secara tiba-tiba Akta Keselamaan Negara dikemukakan ke Parlimen secara tergesa-gesan.

“Ini menimbulkan tanda tanya orang ramai dan kebimbangan kami di Parlimen. Kami juga percaya Majlis Raja-raja juga tidak dirujuk tentang akta ini sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat. Ia dibuat dengan penuh rahsia serta terburu-buru.

“Dengan akta ini himpunan rakyat seperti Himpunan Bersih boleh digagalkan dengan mengunakan akta tersebut.

“Saya ingin mengimbas kembali ketika krisis perlembagaan  untuk mengurangkan  kuasa Raja-raja  Melayu pada tahun 1982, yang  mana beribu rakyat Terengganu telah berarak dalam hujan ke Istana Badariah untuk menunjukkan  sokongan taat setia mereka kepada Sultan Terengganu.

“Pada masa itu rakyat dan Sultan tidak boleh dipisahkan sewaktu krisis berlaku. Dengan akta baru ini kelak,  kerajaan boleh menghalang segala himpunan dengan mengarahkan  tangkapan  bukan sahaja dengan menggunakan kuasa polis dan tentera.”

Terangnya lagi, kuasa yang terletak di tangan seorang  Perdana Menteri teramat besar dan luas implikasinya dan terbuka luas untuk disalah guna.

“Siapa lagi yang tinggal untuk mengawal kuasa mutlak Perdana Menteri?” soalnya.

RUU MKN 20015 dianggap  ultra vires kepada  Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan dan  di dalam Seksyen 18 RUU MKN 2015. Artikel 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana ia jelas memberikan kuasa proklamasi darurat pada Yang Di Pertuan Agong namun di bawah Seksyen 18 (1) RUU MKN telah  memindahkan kuasa tersebut kepada Perdana Menteri iaitu ahli politik yang mengetuai parti politik. Perintah eksekutif  Majlis di bawah Seksyen 19 RUU MKN  juga ultra vires Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

TAGS