RUU MKN: Amanah rancang menghadap Raja-raja Melayu

RUU MKN: Amanah rancang menghadap Raja-raja Melayu

Parti Amanah Negara (Amanah) berhasrat bertemu dengan pihak istana bagi membawa pandangan mereka berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Hatta Ramli berkata, pihaknya bersetuju untuk bertemu pihak istana pada 27 Februari ini bagi membawa pandangan ahli parlimen dan rakyat yang khuatir dengan perkembangan RUU ini.

“Amanah mengucapkan syabas kepada Majlis Raja-raja yang yang meneliti RUU ini dan kita akan menetapkan satu tarikh untuk bertemu pihak istana mungkin pada 27 Februari bagi menyampaikan mesej dan membawa suara ahli parlimen berkaitan bantahan mengenai MKN,” kata beliau pada sidang media di Wisma Amanah, Kuala Lumpur semalam.

Kelmarin, Majlis Raja-raja berpandangan beberapa peruntukan dalam RUU MKN perlu diperhalusi selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang itu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Rang Undang-undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu dan kemudiannya diluluskan Dewan Negara pada 22 Disember.

Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, banyak pihak yang menyatakan rasa tidak setuju terhadap MKN namun disebabkan undi belah bahagi dilakukan, ia menggambarkan seolah-oleh semua pihak bersetuju.

“Ada dalam kalangan wakil BN sendiri tidak bersetuju dengan undang-undnag ini tetapi kerana undi mengikut blok dilakukan, ia menenggelamkan suara yang tidak bersetuju dan kerajaan menyatakan ia diterima semua orang,” katanya.

Seramai 107 ahli Parlimen menyokong, manakala 74 ahli Parlimen menolak RUU itu ketika sesi pengundian belah bahagi dilakukan.

Banyak pihak sebelum ini melahirkan kebimbangan bahawa RUU MKN akan memberi kuasa yang luas kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan sebagai kawasan keselamatan atau ‘security area’.

TAGS