RUU MKN: ‘Tiada angin pokok bergoyang’ kata Khalid

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Parti Amanah Negara (Amanah) khuatir Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) akan digunakan ketika populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kian merudum.

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, sangat menghairankan apabila sesuatu undang-undang yang penting digubal tanpa ada sebarang keperluan mendesak.

“Mengapa tidak ada angin yang bertiup tiba-tiba pokok bergoyang, negara Malaysia kita lihat aman tidak ada isu Sulu lagi, tidak ada isu serangan daripada mana-mana pihak, kerajaan kata suasana yang baik untuk pelabur dan sebagainya tetapi tiba-tiba rang undang-undang yang sebegini rupa digubal.

“Saya kata dikhuatiri undang-undang MKN ini akan digunakan ketika populariti Najib kian merudum,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah, dekat sini hari ini.

Menurut Khalid juga, jika kerajaan berniat menyalahgunakan MKN, rakyat mesti bangkit menentang.

“Ini merupakan satu perkara yang rakyat mesti peka, bangun untuk membantah dan kita nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada mereka yang telah bersuara bukan sahaja NGO tapi individu dari BN sendiri yang tidak bersetuju,” katanya yang juga ahli parlimen Shah Alam.

RUU MKN itu memperuntukkan bidang kuasa khas merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang; perintah berkurung; kuasa untuk mengawal pergerakan jalan; kuasa menangkap; kuasa untuk memeriksa dan menyita; kuasa untuk menggeledah premis bagi benda berbahaya; kuasa untuk memeriksa orang bagi benda berbahaya dan kuasa untuk menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut.

Antara kuasa khas Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan lain ialah mengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih; permintaan bagi sumber; pampasan, kuasa untuk memerintahkan pemusnahan bangunan tertentu yang tidak dihuni; penggunaan kekerasan yang munasabah dan perlu; kuasa untuk mengetepikan inkues dan penyerahan orang yang ditangkap dan benda yang disita kepada polis.

Dalam kuasa khas perintah berkurung, pengarah operasi boleh memerintahkan semua orang di dalam kawasan keselamatan atau mana-mana bahagian kawasan keselamatan untuk berada di dalam tempat kediaman atau bangunan antara waktu yang ditentukan dalam perintah yang dikeluarkan oleh pengarah operasi.

Denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh disabitkan terhadap mana-mana individu yang tidak mematuhi perintah berkurung.

Selain itu, RUU berkenaan turut membolehkan anggota pasukan keselamatan tanpa waran menangkap mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis di kawasan keselamatan.

RUU MKN itu juga memperuntukkan keanggotaan MKN terdiri daripada perdana menteri sebagai pengerusi, timbalan perdana menteri sebagai timbalan pengerusi diikuti tiga menteri yang dipertanggungjawab bagi pertahanan, hal ehwal dalam negeri serta komunikasi dan multimedia selain dianggotai Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara.

TAGS