Malaysia Dateline

Dr. Ong Kian Ming

RUU Pengurangan Kesan COVID 19: Terlambat dan terlewat

RUU “Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) 2020” yang telah lama ditangguhkan baru dibentangkan di Parlimen untuk Pembacaan Pertama pada 12 Ogos 2020.

Untuk menguatkuasakan RUU ini, ia mesti diwartakan setelah diluluskan di Dewan Rakyat sebelum berakhirnya persidangan ini pada 27 Ogos dan juga diluluskan di Dewan Negara sebelum berakhirnya persidangan pada 3 September .

Yang paling awal RUU ini dapat diwartakan adalah pada akhir bulan September. Ini adalah lebih dari 6 bulan sejak MCO bermula pada 18 Mac 2020.

Tambahan pula, jika tindakan dan tuntutan undang-undang tertentu dimulakan atau diselesaikan sebelum RUU ini berkuatkuasa, perlindungan yang diberikan oleh RUU ini tidak dapat digunakan.

Dengan kata lain, RUU ini sudah terlambat dan terlewat dan tidak akan membantu kumpulan yang paling terjejas akibat daripada MCO.

Seksyen 7 RUU ini seharusnya melindungi pihak-pihak yang tidak dapat melaksanakan obligasi kontraktual mereka akibat daripada MCO.

Tetapi Seksyen 10 RUU ini juga menyatakan bahawa “Walau apa pun seksyen 7, mana-mana kontrak yang ditamatkan, mana-mana deposit atau bon pelaksanaan yang dilucut hak, mana-mana ganti rugi yang diterima, mana-mana prosiding undang-undang, timbang tara atau pengantaraan yang dimulakan, mana-mana penghakiman atau award yang diberikan dan mana-mana pelaksanaan yang dijalankan bagi tempoh dari 18 Mac 2020 hingga tarikh penyiaran Akta ini hendaklah disifatkan telah ditamatkan, dilucut hak, diterima, dimulakan, diberikan atau dijalankan dengan sah”.

Kesan Seksyen 10 adalah penafian perlindungan yang diberikan di Sekysen 7 kepada mereka yang paling terjejas akibat daripada MCO.

Sebagai contoh, jika anda adalah peruncit yang menyewa kedai di pusat membeli-belah dan kontrak sewa anda ditamatkan oleh pemilik pusat membeli-belah pada bulan Julai 2020 kerana anda tidak dapat membayar sewa semasa MCO, maka akta ini tidak boleh dipakai oleh anda.

Atau jika anda adalah syarikat penganjur acara yang telah menandatangani kontrak untuk menyewa ribuan khemah dan tandas mudah alih untuk acara larian yang terpaksa dibatalkan, selagi syarikat yang menyediakan khemah dan tandas mudah alih memulakan tuntutan undang-undang terhadap anda SEBELUM pewartaan akta ini, perlindungan yang diberikan oleh akta ini juga tidak boleh dipakai oleh anda.

Kemungkinan tinggi Seksyen 10 menyebabkan LEBIH ramai penuntut untuk segera mengemukakan tuntutan undang-undang mereka terhadap syarikat tertentu dalam beberapa bulan ini SEBELUM akta ini berkuatkuasa.

Terdapat juga kelemahan lain dalam rang undang-undang ini yang juga mengurangkan keberkesanan akta ini.

Sebagai contoh, Seksyen 20 RUU ini meningkatkan ambang minimum hutang oleh penghutang sebelum pemiutang berhak untuk memulakan petisyen kebankrapan dari RM50,000 ke RM100,000.

Ini adalah langkah positif kerana jumlah hutang sesebuah syarikat atau individu mungkin telah meningkat secara luar kawalan semasa tempoh MCO. Tetapi Seksyen 21 juga menyatakan bahawa “Mana-mana prosiding, tindakan atau perkara lain yang perlu dilakukan di bawah Akta Insolvensi 1967 yang belum selesai sebaik sebelum tarikh penyiaran Akta ini hendaklah diuruskan di bawah Akta Insolvensi 1967 seolah-olah Akta Insolvensi 1967 tidak diubahsuai oleh Akta ini ”.

Ini akan memberi insentif kepada pemiutang untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap penghutang SEBELUM akta ini berkuatkuasa.

‘Kelemahan’ yang sama juga terdapat di Seksyen lain seperti merampas barang sekiranya berlaku kemungkiran di bawah Akta Sewa Beli 1967, kegagalan pembayaran ansuran di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, caj pembayaran lewat yang dikenakan oleh pemaju terhadap pembeli harta tanah di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 dan penyitaan aset sebagai ganti tunggakan sewa di bawah Akta Distres 1951.

Sebagai tambahan, klausa mediasi yang tidak mengandungi butiran yang jelas (Seksyen 9 RUU) dan yang kurang terperinci akan memberi galakkan kepada lebih banyak pihak untuk mengajukan tuntutan undang-undang dalam beberapa bulan ini SEBELUM Akta ini berkuatkuasa.

Apa yang lebih mengecewakan adalah berbulan-bulan yang telah digunakan untuk mengkaji apa yang telah dilakukan oleh negara lain termasuk Singapura. Singapura telah memulakan ‘lockdown’ mereka pada 7 April 2020.

Pada hari yang sama, versi RUU COVID mereka diluluskan di parlimen. Tujuan utama rang undang-undang ini adalah untuk memberikan bantuan sementara kepada pihak peniaga dan individu yang tidak dapat melaksanakan obligasi kontraktual mereka akibat daripada COVID-19.

Tahap perincian berkenaan dengan langkah-langkah perlindungan dalam versi RUU Singapura jauh lebih mendalam berbanding dengan RUU COVID Malaysia. Sebagai contoh, RUU Singapura menyatakan bahawa tuan tanah tidak boleh mengeluarkan wang jaminan penyewa untuk membayar tunggakan sewa semasa tempoh ‘lockdown’.

Singapura juga meminda RUU COVID mereka pada 5 Jun 2020 untuk menyalurkan lebih banyak bantuan termasuk wang tunai dan geran yang lain untuk meringankan keperitan ekonomi yang timbul dari ‘lockdown’ mereka.

Malaysia ada peluang untuk membentangkan RUU COVID yang lebih komprehensif semasa persidangan parlimen pada 18 Mei 2020. Masa itu hanya 2 bulan setelah bermulanya MCO dan pihak peniaga masih mempunyai masa untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan yang sewajarnya.

Sebaliknya, pemerintah PN yang tidak anda pilih oleh pengundi menolak peluang ini untuk mengadakan sidang parlimen yang biasa. Enam bulan kemudian, apa yang kita ada sekarang adalah RUU COVID yang penuh dengan kelemahan, terlambat dan terlewat.


Penulis adalah Ahli Parlimen Bangi dan juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP).