Malaysia Dateline

RUU persendirian presiden Pas bagi pinda Akta 355 muncul lagi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Rang Undang-Undang (RUU) persendirian presiden Pas yang juga ahli parlimen Marang muncul lagi dalam kertas Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul yang dikeluarkan pejabat Dewan Rakyat, hari ini.

Usul persendirian itu disenaraikan di kedudukan ketiga dalam senarai usul selepas RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017 oleh Menteri Kesihatan dan RUU Pusat Jagaan (Pindaan) 2017 oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Usul Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu antara lain menyebut:

“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49(1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:

Pindaan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dipinda dalam proviso kepada seksyen 2 dengan menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali” dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah.”

Sejumlah 27 usul disenaraikan bagi dibahaskan dalam sidang parlimen kali ini.

Ini adalah percubaan ketiga presiden Pas untuk membentangkan usul pindaan Akta 355.

Pada sesi Dewan Rakyat penggal lalu, anggota parlimen Marang itu hanya membentang usul persendirian tersebut tanpa dibahas.

Beberapa anggota Dewan Rakyat yang mewakili parti komponen BN mengakui Majlis Tertinggi BN yang bersidang pada minggu sebelumnya  bersetuju untuk usul persedirian Abdul Hadi itu dibentang tanpa dibahas.