Malaysia Dateline

RUU pindaan Sosma tidak akan dibentang tahun ini

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman hari ini memaklumkan, Rang Undang-undang (RUU) pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Beliau berkata, perkara tersebut adalah antara beberapa aspek perundangan yang ingin dikaji semula dan terkandung dalam janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kami memerlukan masa untuk membawa rang undang-undang pindaan akta itu dan dibentangkan dalam sidang parlimen.

“Dalam janji manifesto PH tahun lepas, PH sudah berjanji untuk mengkaji semula beberapa aspek perundangan termasuk Sosma.

“Tetapi, dalam persidangan kali ini, RUU pindaan Sosma tidak akan dibentangkan. Berikan kami masa,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang meminta kerajaan menambah baik akta Sosma tanpa perlu dimansuhkan.

Akta Sosma menjadi isu kepada sebilangan pemimpin politik kerajaan susulan digunakan pihak polis bagi tindakan penahanan 17 individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam(LTTE) termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) dari Dap.