Malaysia Dateline

RUU Profesion Guaman Syarie yang diluluskan bukti komitmen kerajaan PH

Rang Undang Undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 yang diluluskan baru-baru ini membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ia bertujuan untuk mengangkat agenda perubahan yang menunjukkan ‘political will’ untuk melaksanakan tadbir urus baik atau ‘good governance’ di setiap peringkat pentadbiran institusi dalam negara.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.

Ujarnya lagi, peruntukan penubuhan Majlis Peguam Syarie yang akan menguruskan dan mengawal selia profesion peguam syarie akan meningkatkan tahap profesionalisme, advokasi, disiplin dan daya saing peguam syarie yang selama ini sering dibandingkan dengan peguam sivil.

“Ia juga menghakis campur tangan eksekutif dalam pentauliahan dan pembaharuan sijil amalan guaman yang selama ini dikawal oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

“Pelaksanaan undang-undang peguam syarie tersebut akan memantapkan profesionalisma peguam syarie dan mampu meningkatkan kualiti advokasi kerana badan profesional sendiri yang menguruskan dan mengawalselia.

“Oleh kerana itu adalah menjadi harapan besar agar Majlis Peguam Syarie kelak dapat memainkan peranan lebih aktif dan profesional sepertimana majlis peguam bukan sahaja dalam mengawal selia profesion peguam, tetapi juga meningkatkan kualiti dan disiplin advokasi,” tegasnya.

Malah kata Faiz, ia juga dapat menjuarai isu-isu semasa yang berkaitan dengan undang-undang Islam dan perkara yang berkaitan dengan hal ehwalnya.

Tambah beliau, adalah diharapkan undang-undang ini diterima pakai di negeri-negeri lain bagi mewujudkan keseragaman undang-undang syariah di seluruh negara dalam mengurus dan mengawal selia profesion peguam syarie.