Malaysia Dateline

RUU Wakaf Wilayah Persekutuan dijangka bentang akhir penggal parlimen

Rang Undang-undang Wakaf Wilayah Persekutuan dijangka akan dibentangkan pada akhir penggal parlimen iaitu hujung tahun ini kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh.

Beliau berkata, RUU berkenaan sudah siap dan sedang berada di tahap akhir penggubalan di Pejabat Peguam Negara sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya juga, RUU Wakaf yang bakal dibentangkan itu akan digunakan sebagai rujukan dan diselaraskan bagi semua undang-undang wakaf dalam negara.

“In shaa Allah kita dapat bentangkan pada bulan December, kini berada di tahap akhir penggubalan di Pejabat Peguam Negara dan kemudian akan dibawa sekali lagi ke Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen.

“Undang-undang Wakaf yang akan digunapakai di Wilayah Persekutuan adalah Rang Undang-undang Wakaf Wilayah Persekutuan yang kita harapkan menjadi model untuk undang-undang wakaf di setiap negeri di Malaysia.

“Sekarang ni kita ada enakmen wakaf di negeri-negeri. Tapi enakmen itu berbeza-beza dan harapnya bila kita ada Undang-undang Wakaf Wilayah Persekutuan, ia boleh jadi model undang-undang wakaf untuk diselaraskan kesemua negeri di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Wakaf Sedunia kali ke-7, di Dewan Tun Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat, hari ini.

Turut hadir, Sultan Sokoto Nigeria, Yang Amat Mulia Amirul Mu’minin Sheikh As Sultan Muhammadu Sa’adu Abu Bakar III; Pengerusi Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Yang Mulia, Putera Raja Dr Bandar Salman Muhammad Al-Saud.

Tambahnya lagi, undang-undang wakaf sekiranya diluluskan, akan dilaksanakan bertujuan memberi pemahaman berhubung peraturan dan kawal selia untuk menguruskan dana wakaf di negara ini.

Malah, tegasnya dengan adanya Akta Wakaf juga akan menjadikan piawaian pengurusan wakaf yang seragam di semua negeri bagi memudahkan pelaksanaannya.

“Kita harap kita boleh membawa satu undang-undang yang mantap, yang boleh melihat kepada isu integriti supaya wakaf ini tidak disalah guna.

“Kadang orang salah guna perkataan wakaf untuk kutip derma tapi tak ada cara nak kawal, mereka buat salah pun kita tak boleh buat apa-apa (kerana tiada undang-undang)

“Jadi ini juga untuk berikan kita kaedah untuk mengawal salah guna perkataan wakaf agar ia tak disalah guna. Kita mahu peluang untuk orang Islam betul-betul melaksanakan wakaf itu seperti yang dikehendaki oleh agama,” katanya.

Dalam majlis sama, GWC2019 yang diadakan hari ini merupakan anjuran Universiti Antarabangsa Al-Madinah dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam (ISDB), Finterra, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

Dengan tema “Pembangunan, Pengurusan & Inovasi Wakaf untuk Generasi Milenium”, persidangan itu berperanan sebagai platform untuk memberi tumpuan dalam mewujudkan pencerahan dan pemahaman kolektif tentang peranan milenium dalam memulihkan pembangunan wakaf pada skala global.

Persidangan itu turut meneroka kaedah baru untuk memulihkan warisan wakaf yang hilang sebagai model ekonomi yang mampan selain mempamerkan manfaat wakaf kepada milenium.

Dengan lebih daripada 45 perwakilan dari lebih 20 buah negara, acara tersebut menarik lebih daripada 500 perwakilan yang datang dari pelbagai industri seperti pengamal wakaf.

Selain itu, ia juga melibatkan Industri Perbankan dan Kewangan Islam, Pengawal Selia, Pelabur, Akademik, Fintech, Pelajar, Pembuat Polisi, NGOS, Agensi Kerajaan, Kedutaan, Media, dan Pemimpin Agama.

GWC2019 turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara tuan rumah, Al Madinah International University (MEDIU) dan STIE Riau dan AKBAR dari Indonesia.

Manakala pertukaran MOU kedua membabitkan antara Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Yayasan NAMA.

Pertukaran ketiga pula melibatkan antara Kasih Holdings Sdn Bhd dan Finterra Teknologi Sdn Bhd.