RUU355 kekal mainan politik Umno walaupun dibentang di Parlimen

Rang Undang-undang 355 (RUU 355) kekal menjadi mainan politik Umno walaupun dibenar bentang di Dewan Rakyat melalui RUU persendirian ahli parlimen Marang kerana kuasa sebenar untuk memperkasakan mahkamah syariah sebenarnya terletak di tangan perdana menteri.

Ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, pegumuman Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak akan membentangkan cadangan pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah ‘pukulan maut’ kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.

“Saya telah menulis dengan panjang lebar tahun lepas menerangkan Peraturan Dewan 49 yang secara jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang persendirian, jika pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh kecualilah kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Oleh itu, jelas beliau, kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan perdana menteri kerana keputusan bersabit kebenaran pembentangan dan kelulusan RUU persendirian itu terletak di tangan Najib.
 
Menurut Rafizi, keputusan untuk menukar aturan mesyuarat supaya semua akta kerajaan yang disenaraikan lebih awal digugurkan bagi memberi laluan kepada usul RUU 355 diputuskan perdana menteri kerana menurut kebiasaan, urusan kerajaan perlu disudahkan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian boleh dibaca.

“Keputusan untuk melangkah giliran untuk mendahulukan pembacaan RUU persendirian YB Marang mengatasi semua urusan kerajaan yang telah disenaraikan lebih awal (seperti yang pernah berlaku sebelum ini) juga keputusan Dato’ Seri Najib sebagai ketua kerajaan,” ujarnya.

Malah tambah beliau, jika  RUU persendirian ahli parlimen Marang itu dibaca, dibahas dan diundi, keputusan untuk mengarahkan ahli parlimen BN menyokong RUU persendirian itu dibuat perdana menteri.

Jika perdana menteri bersetuju mengarahkan ahli parlimen BN menyokong RUU persendirian itu, Rafizi yakin proses pembentangan semula bagi bacaan kedua juga akan diputuskan Najib.

Rafizi berpendapat, perdana menteri tidak akan membenarkan cadangan pindaan tersebut dibentangkan bagi bacaan kedua kerana beliau gagal menepati janji untuk mengambil alih pembentangkan RUU 355 itu.

Naib Presiden PKR itu yakin RUU355 kekal menjadi permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRU14.

“Dato’ Seri Najib nampaknya yakin beliau bakal mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling tidak popular tetapi kekal berkuasa melalui adu domba politik yang melaga-lagakan rakyat dengan bermain isu agama dan kaum.

“Beliau lupa rakyat sedang menonton sandiwara ini dan jangan perkecilkan kecerdikan rakyat membaca yang tersirat di sebalik permainan politik ini.

“Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Datuk Seri Najib dalam hal ini,” tegas beliau.

Sehubungan itu Rafizi menggesa RUU 355 dibentangkan secepat mungkin supaya ahli parlimen dapat kembali memberikan tumpuan kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya berbanding permainan politik Umno.

COMMENTS

Wordpress (0)