Malaysia Dateline

RUU355: Kerajaan tidak berpolimik, berpolitik, berretorik seperti Pas

Kerajaan tidak berpolemik serta berpolitik dalam usaha untuk memartabatkan Mahkamah Syariah.

Sebaliknya komited untuk mengangkat dan memartabatkan institusi tersebut termasuklah menubuhkan jawatankuasa teknikal bidang kuasa sivil dan syariah.

Ini adalah bagi memastikan adanya penambahbaikan Akta 355, pemantapan ilmu dan skil hakim serta pembentangan Akta Peguam Syarie.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil, ketika program ‘Debat Polisi 2019, RUU 355, Sebuah Hasrat atau Retorik Semata’ yang telah diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Malah kata Faiz lagi, perubahan yang hendak dibawa oleh kerajaan kini ialah ingin melihat negara lebih progresif serta kebebasan bersuara diangkat kepada mahasiswa termasuklah debat yang diadakan.

“Prinsip hukuman yang adil harus menjadi pegangan sama ada golongan mahasiswa maupun golongan legislatif.

“Ruang politik harus dibuka dan RUU 355 boleh didebatkan serta dipersoalkan kewajarannya dalam konteks kehidupan rakyat dalam negara ini.

“Kita tidak mempertikaikan mengenai hudud, namun begitu undang-undang hukuman bukan jalan penyelesaian sebenar,” jelas beliau lagi.

Tegasnya, sejarah telah mencatatkan RUU 355 yang hendak dibentangkan oleh Pas sebelum ini banyak telah dipolitikkan.

“Perkara ini harus diberi perhatian dan difikirkan secara serius oleh mahasiswa.

“RUU 355 telah dipolitikkan semata-mata sejak ia dibentangkan pada tahun 2015, 2016 dan juga 2017 .

“Sekiranya benar hasrat Pas ingin membentangkan RUU 355 kenapa pada tahun 2016 mereka mencadangkan lagi secara usul persendirian sedangkan ia lebih mudah untuk pihak kerajaan iaitu Umno membentangkannya,” tambah beliau lagi.

Faiz  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun ) Permatang Pasir berkata, seandainya benar ia hendak dilaksanakan, sudah tentu ianya tidak berlarutan sehingga menjadi retorik politik sehingga sekarang..

“Yang amat mencurigakan ialah hasrat Pas ingin meminda RUU 355, sebaliknya apabila ditanya mengenai persediaannya, ia tidak pula pernah digazetkan sehingga ke hari ini.

“Saya pernah bertanya kepada Pas mengenai persediaan, kuatkuasa hudud, siapa pendakwaraya, siapa hakim dan dibawah enakmen ini perlu pula ditubuhkan sebuah mahkamah baru, ” ujarnya.

Sebetulnya, kata Faiz, kerajaan PH tidak pernah meretorikkan usaha untuk memartabatkan Mahkamah Syariah.

“Kali pertama RUU 355 dibaca adalah pada 26 Mei 2016.

“Akhirnya ia dibentang dan dibahaskan pada 6 April 2017, kemudian persidangan ditangguh.

“Sementara itu pembangkang pula tidak dibenarkan untuk membahaskan isu tersebut, ” kata beliau lagi.

Oleh kerana itu tegasnya lagi, kerajaan PH dan AMANAH tidak akan menjadikan RUU 355 sebagai retorik untuk kepentingan politik, sebaliknya bersungguh-sungguh ingin memastikan wujudnya reformasi dalam pentadbiran dan usaha memartabatkan Islam dan Mahkamah
Syariah.