RUU355 mungkin dibahas hari ini selepas Pas sokong Akta Antiberita Tidak Benar

RUU355 mungkin dibahas hari ini selepas Pas sokong Akta Antiberita Tidak Benar

Setelah menyokong penuh Akta Antiberita Tidak Benar 2018, hari terakhir sidang Dewan Rakyat ke-13 bakal menyaksikan usul persendirian Rang Undang-undang (RUU) 355 yang dibentangkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kembali lagi.

Selepas ditangguhkan juga pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat pada 6 April 2017, usul pindaan akta itu pada hari ini berada di tangga kedua dalam Peraturan Mesyuarat 49 (1).

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas mencadangkan pindaan menggantikan ayat “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali” kepada “penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi satu sartus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah.”

Usul pindaan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965) [Akta 355] itu dilihat berkemungkinan besar akan dibahaskan selepas cadangan pindaan pada Seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Abdul Hadi sebelum ditangguhkan pada 26 Mei 2016 iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Kali kedua RUU355 ditangguhkan pada 24 November 2016 sebelum Najib Razak dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 1 Disember 2016 mengumumkan pihak kerajaan akan mengambil alih usul persendirian itu.

Walau bagaimanapun, pada 6 April 2017 Abdul Hadi membentangkan lagi pindaan Akta 355 itu diikuti seperti lezimnya menangguhkannya.

Siri penangguhan perbahasan RUU355 itu sekali gus mengundang polemik berpanjangan sehingga memecah belahkan bukan sahaja blok pembangkang bahkan masyarakat Islam di negara ini.

Keratan aturan urusan mesyuarat dan usul yang akan dibahaskan Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat hari ini.

 

7.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 7.3