Malaysia Dateline

Banner RUU355

RUU355: Ulamak Pas mahu tangguh, Kelantan harap dapat bahas

Meskipun Ketua Dewan Ulamak Pas Datuk Dr Mahfodz Mohamed membayangkan pembentangan rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 akan ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Kerajaan Kelantan berharap ia dibahas pada persidangan Parlimen akan datang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, setiap anggota parlimen Muslim mesti menyokong RUU tersebut bagi membolehkan ia diluluskan.

“Manakala yang bukan Islam pula sekurang-kurangnya tidak menentang walau pun tidak menyokong. Hormatilah hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka secara menyeluruh.

“Saya berharap Speakar Dewan Rakyat memberi ruang supaya RUU355 dapat dibahaskan dalam persidangan nanti,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Dr Mahfodz Ahad lalu berkata, Pas perlu mengambil kira beberapa aspek berkaitan RUU355 memandangkan PRU14 semakin dekat.

“Kalau boleh kita bentang mahu menang. Kita kena buat perkiraan, sekarang ini beberapa orang Umno bahkan penganut agama Islam lain tidak sokong, lebih baik kita tangguhkan dahulu.

“Lepas pilihan raya, selepas banyak kerusi yang kita menang, barulah (bawa semula RUU355 ke Dewan Rakyat),” katanya.

Menurut Fadzli juga, ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sudah membentangkan usul berkenaan sebelum ini.

“RUU 355 hendaklah dibentang dan dibahas pada sesi Parlimen tidak lama lagi,” katanya.

Pada 6 April lepas Presiden Pas membentangkan usul RUU355 selepas diberi laluan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

RUU355 pertama kali dibentangkan Abdul Hadi pada Mei 2016 bagi meningkatkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan pada masa ini.