S Streram harap menang di Rantau sempena ulang tahun perkahwinan

S Streram harap menang di Rantau sempena ulang tahun perkahwinan

Calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram selesai membuang undi pada jam 8.35 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Rantau, Negeri Sembilan.

Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau itu bermula pada jam 8 pagi ini dan dijangka berakhir 5.30 petang.

Doktor pakar bius yang membuang undi di saluran satu itu memberitahu, hari ini merupakan ulang tahun perkahwinannya.

“Hari ini adalah ulang tahun perkahwinan saya yang ke-34 dan saya berharap kemenangan akan berpihak kepada saya.

“Selain ulang tahun perkahwinan saya, hari ini merupakan hari yang ditunggu, kerana saya ingin ‘menakluk’ Rantau untuk berkhidmat kepada masyarakat

“Pada masa sama, isteri turut memberi sokongan penuh kepada saya untuk berkhidmat dengan masyarakat di sini.

“Saya akan melakukan pembaharuan dari segi perumahan orang awam dan menaik taraf klinik kesihatan di Dun Rantau jika saya menang malam ini,” katanya ketika ditemui pemberita di SJKT Rantau, hari ini.

SJKT Rantau menyediakan lima saluran bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

PRK Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan pesaing S Streram iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) serta dua calon Bebas, Mohd Nor Yassin dan R Malar.