Malaysia Dateline

Saarani atau Shahrul bakal Menteri Besar Perak?

Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga Adun Kota Tampan paling disebut sebagai bakal mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Menurut sumber, wakil rakyat empat penggal itu berpotensi mengetuai pentadbiran negeri kerana pengalaman dan sokongan Umno di peringkat akar umbi.

Beberapa hari lalu, 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN difahamkan telah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong pencalonan Saarani, 59.

Umno negeri juga mempersembahkan nama Saarani kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semasa pensejajaran semula kerajaan negeri itu Mac lalu.

Untuk rekod, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Perak sejak 2018.

Saarani pernah berada dalam pentadbiran kerajaan negeri di bawah dua Menteri Besar iaitu Tan Sri Tajul Rosli Ghazali dan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini.

Selain Saarani, dua nama lagi disebut bakal pengganti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu iaitu ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Zambry.

Shahrul Zaman yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor juga adalah bekas Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Beliau dilihat mempunyai hubungan yang amat baik dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shahrul juga dikatakan pemimpin mesra rakyat serta disenangi komuniti bukan Melayu sekali gus memiliki ciri paling sesuai untuk menjadi Menteri Besar yang baharu.

Sementara itu, Zambry, 58, adalah ADUN Pangkor yang dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkuatkuasa 12 Ogos lalu.