Saari Sungib dakwa beliau tiada masalah dengan Azmin

Saari Sungib dakwa beliau tiada masalah dengan Azmin

Adun Hulu Kelang yang juga naib pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Saari Sungib yakin tweet Azmin malam tadi, yang menyindirnya “mengemis jawatan exco”, bukanlah ditulis pemimpin PKR tersebut.

“Saya tiada masalah dengan menteri besar,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Sindiran di Twitter itu dilaporkan susulan kenyataan Saari yang mendakwa Azmin mengamalkan budaya “politik istana” yang berbahaya dalam satu forum di Petaling Jaya.

“Apa yang dilaporkan itu persepsi mereka [media] dan saya sebagai Adun Hulu Kelang telah memberikan penerangan terbaik dalam forum berkenaan.

“Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Azmin. Selepas forum terbabit, dua kali saya bertemu dengan Azmin semalam. Kami bersembang seperti biasa.

“Saya rasa tweet itu bukan jawapan daripada beliau (Azmin) sendiri sebab baru semalam kami bertemu. Masakan beliau salah faham dengan saya.

“Saya tidak ada sangkal apa-apa [kepada Azmin] kerana itu pandangan saya,” kata Saari kepada Projek MMO hari ini.

Media melaporkan Saari, di forum “Kombinasi baru, politik lama: Ke mana Malaysia?”, mempertikai Azmin yang didakwa bermain “politik istana” dengan mengekalkan PAS dalam kerajaan negeri.

“Dengan hormat kepada Azmin, saya masih bantu dan sokong kerana beliau cuba bermain dengan budaya yang bahaya iaitu permainan politik istana.

“Isu yang akan ditekan di kerajaan Selangor ini (perlu) diterajui oleh majoriti Melayu,” katanya.

Krisis PAS dengan dua rakan kongsinya PKR dan DAP bermula sekitar Julai 2014 apabila parti itu menolak calon menteri besar yang awal, presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan itu, muncul cadangan PAS dipinggirkan di Selangor tetapi tidak dipersetujui oleh PKR, khususnya Azmin, dengan alasan ia menggugat perimbangan kuasa kerajaan campuran itu.

Ada pihak mendakwa PAS tetap dikekalkan hingga sekarang, walau gabungan pembangkang awal Pakatan Rakyat sudah pecah, atas nasihat istana.

Dalam kenyataannya hari ini, Azmin menafikan istana Selangor pernah campur tangan dalam pentadbiran negeri atau hal-ehwal politik.

“Kita harus mempertahankan institusi raja termasuk di Selangor. Kita kena bersyukur institusi [raja] Selangor tidak mencampuri pentadbiran dan tidak pernah mencampuri urusan politik.

“Jadi jangan buat kenyataan yang boleh timbulkan prasangka dan persepsi yang tidak baik,” katanya di Shah Alam.