Malaysia Dateline

Sabah akan kaji gubal akta lompat parti, kata Shafie

Sabah akan mengkaji dan meneliti kaedah supaya larangan lompat parti dapat digubal bagi menggelak insiden yang berlaku sebelum ini dapat dielakkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, situasi lompat parti di kalangan pemimpin politik telah menyusahkan rakyat kerana mereka sewenang-wenangnya menukar haluan selepas diberi mandat ketika pilihan raya diadakan.

Tegas beliau, rakyat dan pengundi telah memberi mandat kepada pemimpin tersebut namun apabila keadaan politik nampak tidak stabil, mereka dengan sesuka hati ‘melompat’ ke parti lain.

“Mereka ini bukan nak mempertahankan mandat rakyat, tetapi hanya mahu menjaga kepentingan diri sahaja.

“Dengan itu, kita akan meneliti secara mendalam dan berbagai pandangan serta cadangan mengenai isu lompat parti ini.

“Dan saya yakin kita akan ‘reform’ bagaimana kita gubal satu perundangan untuk membolehkan supaya kes lompat parti ini dapat diselesaikan,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini terdapat kes isu lompat parti dibawa ke mahkamah tetapi telah diputuskan ia bercanggah dengan perlembagaan sistem demokrasi yang sedia ada.