Malaysia Dateline

Sabah antara lima lokasi mesyuarat APEC 2020

– Kota Kinabalu, bersama-sama Kuala Lumpur, Langkawi, Melaka dan Pulau Pinang, akan menjadi menjadi lokasi siri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 mulai DIsember 2019 hingga November 2020.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC sejak 1998.

Ketua Logistik Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 Suraya K.A Rahman berkata siri mesyuarat itu akan bermula pada Disember 2019 di Langkawi, diikuti di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur pada November 2020.

“Kota Kinabalu akan menjadi lokasi mesyuarat itu mulai 1 hingga 15 Sept, 2020. Lebih 1,200 anggota delegasi dari 21 negara anggota APEC akan menghadirinya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, pada Isnin.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Wilayah Sabah, Mohd Hijri Mat Rani.

Suraya berkata pemilihan Kota Kinabalu sebagai tuan rumah mesyuarat itu akan memberi peluang untuk menonjolkan Sabah sebagai antara destinasi terbaik di Malaysia bagi industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran.

“Kota Kinabalu merupakan destinasi pelancongan menarik dan kita berharap dengan memaklumkan lebih awal kepada para delegasi, mungkin bukan sahaja mereka yang datang ke sini malah turut membawa keluarga bersama,” katanya.

— BERNAMA