Malaysia Dateline

Sabah arah pelajar yang pulang jalani kuarantin

Pelajar Sabah yang baru balik dari luar negara termasuk semenanjung dan Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu menjalani kuarantin 14 hari walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan Covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Christina Rundi, bagi mereka yang mempunyai simptom seperti demam, batuk atau selsema, sakit tekak, sesak nafas dan hilang deria bau akan dirujuk ke hospital bagi penilaian kesihatan dan tindakan selanjutnya.

“Para pelajar mahupun orang awam yang kembali ke Sabah perlu melengkapkan Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Negeri Sabah dengan jujur.

“Mereka harus melalui saringan kesihatan di pintu masuk sebaik ketibaan di lapangan terbang,” katanya menerusi kenyataan yang dipetik SabahNewsToday di Kota Kinabalu hari ini.

Tambah Dr Christina, perintah kuarantin bakal dijalankan di pusat-pusat kuarantin ataupun di rumah.

Ujarnya, sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah menghubungi Unit CPRC Sabah, JKNS di talian 088-219455 ataupun emel kepada [email protected]

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan telah melonggarkan syarat PKP bagi membenarkan pelajar yang berada di institusi pengajian tinggi untuk pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat bermula Isnin lalu.