Sabah gesa usahawan tempatan labur dalam pembangunan negeri

Sabah gesa usahawan tempatan labur dalam pembangunan negeri

Kerajaan Sabah menggesa usahawan tempatan agar melabur dalam pembangunan negeri untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat usahawan dalam masa terdekat untuk menggalakkan mereka melabur dalam usaha pembangunan negeri.

“Saya yakin mereka (usahawan) mempunyai kewangan yang boleh dilaburkan untuk pembangunan rakyat.

“Mereka boleh menggunakan kewangan mereka untuk mewujudkan perniagaan atau kegiatan ekonomi yang memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, sekali gus membantu dalam mengatasi masalah pengangguran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat daerah Sandakan, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata Kementerian Perdagangan dan Pembangunan Perindustrian Negeri akan melaksanakan usaha menggalakkan syarikat kayu kayan, terutamanya yang berhampiran Sandakan, untuk beroperasi di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan, yang bakal berubah wajah menjadi Pusat Pembuatan Perabot Sabah.

Katanya, usaha itu akan mengambil masa, tetapi berupaya mencipta banyak peluang pekerjaan di Sabah, khususnya untuk masyarakat Sandakan.– BERNAMA