Sabah guna hak buat keputusan kuatkuasa larangan merokok

Sabah guna hak buat keputusan kuatkuasa larangan merokok

Penangguhan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negeri ini menjadi penanda aras kepada kerajaan negeri Sabah menggunakan haknya dalam membuat keputusan berasaskan ordinan kerajaan tempatan negeri ini.

Keputusan itu dibuat sejajar dengan prinsip yang dipegang kerajaan negeri Sabah yang baharu dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengutamakan Hak-Hak Sabah seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963, sentiasa terjamin termasuk dalam soal penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan.

Larangan merokok itu dikuatkuasakan bermula 1 Jan lepas di seluruh negara tetapi hanya Sabah dan Sarawak masih menangguhkan pelaksanaannya sementara menunggu keputusan mesyuarat Kabinet negeri masing-masing.

Sabah bersama negeri jirannya itu sependapat dengan kerajaan persekutuan dalam undang-undang antimerokok, namun dari segi penguatkuasaan mempunyai ordinan kerajaan tempatan sendiri.

Bagi menteri bertanggungjawab berkaitan Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong menyifatkan beberapa perkara perlu dibuat termasuk berkaitan ordinan kerajaan tempatan untuk disahkan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada minggu hadapan, dijangka pada Rabu sebelum keputusan pelaksanaan dibuat.

Pada masa sama, Wong mengakui larangan itu baik untuk orang ramai tetapi pelaksanaannya di Sabah memerlukan beberapa pelarasan berkaitan ordinan kerajaan tempatan sedia ada.

Keputusan Sabah itu juga dilihat sebagai berhati-hati bagi mendengar maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk kalangan anggota Kabinet negeri.

Ini termasuklah dalam sektor pelancongan dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew, menyuarakan bahawa perkara ini perlu diteliti secara mendalam kerana ia melibatkan kedatangan pelancong.

Loading...

Katanya tidak semestinya peraturan di Semenanjung itu diikuti di Sabah memandangkan Sarawak juga belum menguatkuasakannya.

Liew menyatakan kebimbangannya itu berasaskan industri pelancongan menjadi penjana penting kepada sumber ekonomi negeri ini.

Sependapat dengan Liew adalah Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA), Datuk Tan Kok Liang mahu pihak berkaitan di Sabah berhati-hati dalam membuat keputusan melaksanakan larangan merokok di negeri ini agar tidak menjejaskan industri pelancongan.

Seramai 3.5 juta pelancong tempatan dan antarabangsa datang ke Sabah dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lepas.

Dalam menangguhkan larangan merokok itu sebelum keputusan dibuat pada mesyuarat Kabinet negeri pada minggu hadapan, beberapa pihak termasuk pertubuhan menyatakan pendirian agar Sabah turut sama menguatkuasakan larangan itu.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) Ahmad Farid Sainuri mahu larangan merokok itu dilaksanakan di Sabah disebabkan ia bukan hanya menyediakan persekitaran yang sihat kepada anak kecil, warga emas dan pesakit yang menghidap masalah pernafasan tetapi juga mampu menjadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan setanding dengan negara maju.

Bagi Persatuan Kedai Kopi Pantai Barat Sabah, mereka menyokong larangan merokok disebabkan kebanyakan pelanggan mereka kalangan bukan perokok.

Pengerusinya Yong Chee Yun berkata sebagai tanda sokongan, pengusaha kedai kopi kalangan anggota persatuan itu sudah meletakkan papan tanda ‘Dilarang Merokok’ di premis mereka.

Namun, katanya, ada pelanggan tetap mereka dalam kalangan perokok tidak datang ke premis mereka sejak 1 Januari lepas dan ada yang datang akan merokok di luar premis atau sejauh tiga meter dari kawasan premis sejajar dengan arahan Kementerian Kesihatan.

Pada Oktober lepas, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua restoran, kopitiam dan pusat penjaja, malah tempat makan di ruang terbuka, di seluruh negara, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda sehingga RM10,000 atau berdepan hukuman penjara dua tahun manakala premis makan yang didapati membenarkan pelanggan mereka merokok akan dikenakan hukuman denda maksimum RM2,500.

— BERNAMA