Sabah hadapi kekurangan bekalan minyak masak

Keputusan bekalan minyak masak di beberapa daerah di Sabah meruncing sehingga menimbulkan perasaan panik dan marah di kalangan pengguna.

Sabah hadapi kekurangan bekalan minyak masak

Keputusan bekalan minyak masak di beberapa daerah di Sabah meruncing sehingga menimbulkan perasaan panik dan marah di kalangan pengguna.

Di Kota Marudu, orang ramai dilapor beratur untuk membeli minyak masak paket di kedai runcit dan gudang.

Seorang penduduk, Zaidi Jatil telah memuatnaik status di Facebook menyatakan rasa simpati terhadap penduduk Kota Marudu yang terpaksa berbaris semata-mata untuk membeli minyak masak di dalam paket.

Zaidi mengatakan setiap seorang hanya dibenarkan membeli 5kg minyak masak paket dan ada pengawal yang memantau sekiranya terdapat individu membeli minyak sebanyak dua kali atau lebih.

“Sebentar tadi saya sempat ikut berbaris di gudang dan di kedai More Change untuk mendapatkan minyak masak. Setiap seorang hanya dibekalkan 5kg minyak untuk sekeluarga dan di kedai tersebut siap ada penjaga lagi untuk melihat jika ada individu membeli minyak masak sampai dua kali,” tulis beliau.

Ujar Zaidi lagi, ketiadaan minyak masak paket di Kota Marudu sudah berlarutan selama hampir tiga minggu. Hanya minyak masak selain minyak sawit dijual di kedai-kedai runcit atau gudang pasar raya.

Beliau juga melahirkan rasa gusar terhadap nasib orang kampung serta peniaga-peniaga kecil yang menjual makanan. Ada yang terpaksa menghentikan sementara perniagaan mereka kerana kehabisan stok minyak masak di daerah itu.

“Untuk makluman, di sini sudah hampir 3 minggu masalah ketiadaan minyak masak. Ada pun, hanya minyak botol Cap Jagung (minyak jagung) 2kg yang harganya mencecah RM28.00 sebotol. Bagaimana peniaga dan orang kampung ingin membeli minyak tersebut dengan harga yang mahal.

“Bagaimana dengan peniaga-peniaga makanan, ada yang sampai terpaksa berhenti berniaga sementara, gara-gara ketiadaan minyak masak. Sangat menghairankan.

“Daerah ini dikelilingi pokok kelapa sawit berkeluasan ratusan ribu hektar, dengan kapasiti rakyat tidak mencecah 100,000 orang, tetapi bekalan minyak masak tidak dapat menampung (keperluan) di daerah ini,” tambahnya lagi.

Penduduk turut menyatakan kekesalan dengan kelewatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tandek, Anita Baranting dan Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kudat yang baru turun padang memantau bekalan minyak di kedai-kedai sekitar daerah Kota Marudu ini.

Menanggapi aduan dan keluhan rakyat Sabah, Pemuda Amanah Negeri Sabah telah membuat pantauan di kedai-kedai sekitar daerah Sepanggar dan Putatan untuk melihat sendiri situasi seperti yang didakwa di media sosial.

Hasilnya, didapati beberapa kedai runcit dan gudang pasar raya benar-benar mengalami situasi kekurangan bekalan minyak masak.

Di daerah Sepanggar, Pemuda Amanah Sabah mendapati perkara yang sama berlaku di pasar raya seperti One Superstore di Sulaman Sentral dan CKS.

Pemuda Amanah Sabah akan mengadakan tinjauan di beberapa daerah lain bagi memantau  permasalahan ini.

Hasil pantauan tersebut akan disampaikan kepada pihak berkuasa.