Sabah masih 70.3 peratus vaksinasi

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Sabah baru mencapai 70.3 peratus daripada jumlah penduduk dewasa yang lengkap mendapatkan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata peratusan itu mewakili 1,939,517 penduduk berumur 18 tahun ke atas.

Menurutnya, penduduk dewasa di negeri itu yang menerima satu dos vaksin ialah seramai 2,079,569 orang atau 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima satu dos vaksin setakat 11 Oktober ialah 2,380,981 orang, dengan 2,079,569 orang adalah penduduk dewasa iaitu bersamaan dengan 75.4 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Sabah.

“Penduduk Sabah yang menerima dos lengkap ialah 2,055,483 orang. Daripada jumlah ini, seramai 1,939,517 orang atau 70.3 peratus adalah penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Sabah disasar mencapai imuniti kelompok vaksin Covid-19 atau 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin pada awal bulan depan.