Sabah, Sarawak bukan lagi deposit BN, kata bekas ketua menteri Sabah

Sabah, Sarawak bukan lagi deposit BN, kata bekas ketua menteri Sabah

Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh meramalkan rakyat Sabah dan Sarawak jelas mahukan pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan.

Beliau berkata, berkemungkinan besar BN akan hilang penguasaan parlimen di dua negeri itu yang bukan lagi menjadi deposit tetap BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

“Perasaan mereka terhadap kerajaan persekutuan sekarang sama dengan rakyat di Semenanjung. Hampir separuh orang Melayu di Semenanjung tidak lagi menyokong BN.

“Ianya bukan persoalan sama ada rakyat Sabah dan Sarawak tidak diberikan hak oleh kerajaan persekutuan, tetapi orang di sini sudah banyak mendengar tentang perkara yang berlaku. Mereka bimbang dengan apa yang berlaku di KL.” ujarnya seperti dilaporkan FMT semalam.

Kenyataan Harris sama dengan ramalan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad kira-kira 2 bulan lalu.

Dr Mahathir berkata, Pakatan Harapan dengan bantuan Parti Warisan Sabah akan memenangi sekurang-kurangnya separuh daripada kerusi Parlimen dan negeri di Sabah.

Harris percaya ramai rakyat Sabah dan Sarawak semakin kecewa dengan kerajaan persekutuan kerana dasarnya yang dilihat berat sebelah dan diskriminasi.

Beliau memberi contoh dasar imigresen berbeza di Semenanjung dan Timur Malaysia mengenai kelulusan permohonan warga asing yang mahu berpindah ke Malaysia sebagai tempat persaraan mereka.

“Saya dengar jika orang seperti ini boleh membawa RM1 juta ke Langkawi dan Johor, maka tiada masalah. Imigresen akan benarkan mereka masuk.

“Tetapi, tidak di Sabah dan Sarawak. Ini berat sebelah. Jadi, rakyat Sabah dan Sarawak mahu kerajaan yang telus dan berterus-terang dengan sedikit atau tiada langsung publisiti negatif.”

Katanya, penggunaan sosial media secara meluas dan akses mudah kepada berita juga tidak memanfaatkan BN.

Beliau menjangkakan golongan belia berpendidikan akan memainkan peranan besar dalam mengubah undi keluarga mereka menentang BN.

Bagaimanapun, beliau percaya BN akan kembali ke Putrajaya selepas 1 atau 2 penggal.

Beliau mengakui populariti Warisan yang semakin meningkat di Sabah sejak penahanan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal kerana disyaki merasuah, tetapi katanya, ia tidak mencukupi untuk menjejaskan peluang BN Sabah bagi mempertahankan kuasanya di negeri itu.

“Ianya benar apabila bercakap tentang Shafie, rakyat pedalaman berpendapat dakwaan itu tidak adil. Mereka kata SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) memilih dalam kes mereka.

“Rakyat bertanya ‘Kenapa hanya Shafie?’ Rakyat biasa tidak percaya tuduhan dilemparkan ke atasnya. Jadi, beliau kini lebih popular.

“Tetapi, bagi kerajaan negeri, pada satu tahap, rakyat masih akan menyokong BN. Musa Aman akan kekal memperoleh majoriti.”

Bagaimanapun, katanya, kedudukan BN sebagai pembangkang di Parlimen boleh memudaratkan Sabah kerana kemajuan negeri itu bergantung kepada hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Beliau berkata, pembangunan di Sabah terhenti apabila hubungan kerajaan pimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan kerajaan persekutuan regang.

CATEGORIES
TAGS