Malaysia Dateline

Sabah terus jadi penyumbang kes baharu Covid-19

Sabah terus menjadi penyumbang utama pertambahan kes baharu Covid-19 hari ini dengan 31 daripada 45 kes jangkitan tempatan.

Dua kes baharu wabak berbahaya itu merupakan kes import, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media petang ini.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 14 kes baru Covid-19 dicatatkan di Kedah.

Daripada 45 kes penularan di dalam negara, 28 kes adalah warganegara Malaysia manakala selebihnya adalah bukan warganegara.

Daripada 31 kes baharu yang dicatat di Sabah, 22 kes dikesan daripada Kluster Benteng Lahad Datu melibatkan lapan warganegara dan 14 bukan warganegara.

Sementara itu, sembilan kes selebihnya terdiri daripada empat kes saringan warga emas di klinik kesihatan, saringan di pusat kuarantin (2), saringan petugas kesihatan (1),  saringan Orang Kena Tahan di Kudat 91), dan satu kes Infuenza-like illness (ILI).

Kes di Kedah pula terdiri daripada 13 kes daripada Kluster Tawar dan satu kes daripada Kluster Sungai.

Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes aktif ketika ini ialah 591 kes manakala tiada kematian baru dilaporkan, menjadikan jumlah korban akibat Covid-19 kekal 128 kes.

Malaysia setakat ini merekodkan jumlah sebanyak 9,915 kes positif Covid-19.