Sabitan liwat:  Mahkamah dengar rayuan Anwar 14 September

Sabitan liwat: Mahkamah dengar rayuan Anwar 14 September

Mahkamah Rayuan menetapkan 14 September depan untuk mendengar rayuan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan samannya terhadap kerajaan berhubung sabitan bagi meliwat.

Timbalan Pendaftar Haslina Basarudin menetapkan tarikh itu selepas perkara itu dikemukakan bagi pengurusan kes di hadapannya hari ini.

Peguam J.Leela yang mewakili Anwar dan peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob bagi pihak kerajaan, turut hadir pada prosiding pengurusan kes itu.

Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan kerajaan.

Anwar memfailkan saman pemula pada 9 Jun, 2017, mendakwa bahawa beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi meliwat.

Anwar memohon pengisytiharan bahawa sabitannya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon satu perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan adalah ultra vires dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Dalam afidavitnya, Anwar mendakwa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Anwar atas alasan ia remeh-temeh dan tidak sebab untuk tindakan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi memutuskan bahawa kes Anwar itu adalah tidak berasas dan tanpa sebarang keterangan sokongan.

Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keputusan itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Anwar, bagaimanapun diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei tahun ini.

COMMENTS

Wordpress (0)