Malaysia Dateline

Sabotaj mungkin punca sumber air mentah tercemar, kata Exco Selangor

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal selain Islam negeri Hee Loy Sian tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur sabotaj sehingga menyebabkan sumber air mentah dikesan tercemar pada 2 pagi tadi.

Menurutnya, pencemaran berlaku pada sebelah malam dan pada Ahad, biasanya kilang tidak beroperasi pada hari Ahad.

“Kita sudah buat laporan supaya polis dapat buka kertas siasatan sama ada terdapat unsur sabotaj atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Kolam Tebatan Banjir Sungai Gong di Rawang hari ini.

Terdahulu, sebanyak 1,196,457 akaun pengguna Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan tidak berjadual apabila empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas ekoran pencemaran sumber air mentah.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi empat unit dron berteknologi tinggi model DJI Matrice 300.

Keempat-empat dron yang akan diurus Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS itu akan digunakan mulai November depan bagi memantau sungai di negeri tersebut sekali gus mencegah aktiviti pencemaran sumber air.

Beliau menjelaskan dron tersebut akan digunakan untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat.

“Dron yang akan digunakan ini juga berkeupayaan untuk mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat.

“Malah ia juga dapat mengesan individu pada waktu malam termasuk memberi amaran awal jika terdapat aktiviti yang mencurigakan,” katanya.

Sehubungan itu, Loy Sian berkata, pihaknya menjangka dapat mencegah aktviti pencemaran sungai di Selangor pada masa akan datang dengan adanya teknologi terseebut.

Dalam masa sama, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor akan datang bakal menyaksikan syor bagi mengubah enakmen sedia ada LUAS berhubung hukuman bagi kesalahan pencemaran sungai.

“Sekarang denda yang dikenakan RM100,000 atau penjara, kita mahu denda sedia ada dinaikkan kepada RM200,000 hingga maksimum RM1 juta dan pesalah turut dikenakan penjara tidak lebih setahun.

“Selain itu, kita akan bagi ganjaran sebanyak RM20,000 kepada pemberi maklumat berhubung aktiviti pencemaran sungai dan maklumat mereka (pemberi maklumat) akan dirahsiakan,” kata Loy Sian lagi.