Malaysia Dateline

SADA nafi Velfire untuk MB Kedah, tetapi untuk pengurusan syarikat

Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) berkata, pembelian kereta mewah Toyota Velfire yang menjadi tular sebelum ini adalah untuk kegunaan rasmi pihak pengurusan syarikat.

“Menteri Besar Kedah iaitu YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi bin Md Noor tiada kaitan dengan keputusan syarikat untuk membeli kenderaan tersebut,” kata Anas Aidi Md Rozai, Pegawai Perhubungan Awam SADA dalam satu kenyataannya.

Sebelum ini tular cerita tentang MB Kedah, Sanusi yang juga Pengerusi SADA menerima sebuah kereta baharu iaitu Toyota Vellfire berwarna hitam dengan plat nombor KEP5000.

Toyota Vellfire tersebut dianggarkan berharga RM345,000.00 yang merupakan di antara spesifikasi yang tertinggi keretab jenis itu.

Menurut sumber, kereta Toyota Vellfire hitam itu diambil sendiri oleh Sanusi pada jam 2.30 pagi pada 30 September 2020 dilokasi yang tidak dimaklumkan.

Sanusi sebelum ini menggunakan kereta Volvo S90 dan kemudian kini menggunkan Mercedes Benz untuk kegunaan rasmi MB.

Beliau dipercayai merancang untuk menukar kereta tersebut dengan Toyota Vellfire hitam dengan plat nombor KEP5000 atas alasan yang tidak diketahui.

Netizen terutama rakyat di negeri ini mula mempersoalkan tindakan MB Kedah tersebut menukar kereta baharu di saat negara dan negeri masih lagi bergelut dalam kelembapan ekonomi.

Menjadi tanda tanya kepada seluruh warganet dan rakyat di negeri Kedah adalah, masalah air di negeri Kedah ini masih belum dapat diselesaikan lagi, tetapi SADA berbelanja besar membeli kereta Toyota Vellfire untuk kegunaan Pengerusinya itu.