Malaysia Dateline

Sada salur bekalan air kepada penduduk Tanjung Dawai atasi kemarau

Syarikat Air Darul Aman (Sada) Sdn Bhd mengambil tindakan segera bagi membantu penduduk di sekitar kawasan Dun Tanjung Dawai, dengan menyalurkan bekalan air bersih kepada 85 buah kampung.

Ahli Lembaga Pengarah Sada, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata,tindakan segera yang diambil adalah menyediakan 40 buah lori untuk menghantar bekalan air bersih ke kawasan kampung yang mengalami kekurangan bekalan air.

Mejar (B) Anuar Abdul Hamid

“Tindakan ini membuktikan bahawa SADA senantiasa sanggup untuk memberi bantuan bekalan air dengan segera bagi mengatasi masalah tersebut.

“Masalah bekalan air terputus dan tidak mencukupi telah berlarutan begitu lama dan ianya bukan suatu perkara yang baru.

“Selain Loji Rawatan Air Tupah yang tidak berfungsi dengan baik, percambahan penempatan penduduk sekitar kawasan Merbok dan Tanjung Dawai turut mendorong berlakunya kekurangan bekalan air tersebut, ” tegasnya.

Ujar Anuar lagi, setiap hari bekalan air yang diperlukan sehari bagi kawasan Dun Tanjung Dawai adalah sekitar 20 juta liter.

“Bagi mengatasi masalah bekalan air tersebut, maka usaha bagi menaik taraf dan membaki loji air di Bukit Selambau harus dilaksanakan dengan segera.

“Selain itu loji air di Tupah juga mesti segera diberi perhatian serius bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air tersebut.

“Ia harus dibaiki dengan segera agar tidak ada masalah lain yang berkaitan akan timbul selepas ini, ” tambah beliau.

Beliau juga berkata masalah kekurangan bekalan air di kawasan Dun Tanjung Dawai telah pun berlarutan sejak 20 tahun yang lalu.

Oleh kerana itu katanya, masalah tersebut harus diberi perhatian serius bagi memastikan ianya tidak berterusan dalam jangka masa yang lebih lama.