Saddi  Adun Sukau sertai Warisan

Saddi Adun Sukau sertai Warisan

Setelah keluar Umno  Ogos lalu,  Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, hari ini mengumumkan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Saddi yang sebelum ini menjadi Adun Bebas selepas mengisytiharkan keluar Umno berkata, keputusan itu diambil selepas tertarik dengan visi Warisan yang dipimpin Presidennya yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menggariskan dasar perjuangan untuk membela seluruh rakyat negeri ini.

Katanya, keputusan itu juga kerana mengambil kira faktor pembangunan berterusan yang diharapkan rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sukau dan beliau yakin ia mampu direalisasikan sekiranya wakil rakyat berkhidmat dengan parti kerajaan.

“Saya sudah bertemu dengan Ketua Menteri pada Khamis lalu dan dalam pertemuan selama dua jam di rumah beliau (Mohd Shafie), kami berbincang mengenai apa yang diperlukan rakyat Sukau.

“Alhamdulillah, saya diterima dengan dada terbuka dan akan serahkan borang keahlian kepada Ketua Menteri sebelum Dun  bersidang pada Khamis ini,” katanya pada sidang media di sebuah hoteldi Sandakan hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Ariffin Asgali dan Ketua Bahagian Warisan  Kinabatangan, Mahmod Tahsan.

Saddi berkata, selepas menjadi wakil rakyat bagi Dun Sukau pada 2008, beliau menggariskan hala tuju Pembangunan Pekan Baharu Sukau bermula pada 2010 hingga 2020 untuk menjadikan Sukau sebagai sebuah daerah baharu menjelang 2020.

Katanya, antara komponen penting yang digariskan dalam pelan itu adalah menjadikan Sukau sebagai pusat pentadbiran daerah, membina jambatan kedua Sukau, membina pejabat kerajaan dan pelbagai lagi kemudahan.

“Walaupun tidak dapat direalisasikan semuanya tetapi setidak-tidaknya boleh dimulakan pelaksanaannya sebelum menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) melalui kerajaan Warisan,” katanya.

Ditanya jika mengharapkan jawatan dalam parti, Saddi berkata, bukan keutamaannya untuk mendapatkan jawatan, sebaliknya apa yang menjadi tumpuannya adalah untuk kesinambungan pembangunan Dun Sukau.

“Jika masih bebas atau pembangkang, saya yakin projek ini akan terbengkalai. Saya berharap kerajaan dapat membuat tindakan susulan terhadap perancangan Pekan Baharu Sukau ini.

“Sebelum ini, ramai yang menghalang saya (daripada menyertai Warisan) adalah daripada kalangan pimpinan Umno  di bawah. Saya ambil pendekatan untuk beri kefahaman mengenai parti Warisansecara perlahan-lahan kepada mereka,” katanya.