Malaysia Dateline

Safarizal perjelas situasi sebenar dakwaan wanita AMANAH dikasari

Ahli Jawatankuasa AMANAH Perak, Safarizal Saleh menjelaskan situasi sebenar berhubung dakwaan seorang anggota Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Teluk Intan kononnya telah dikasari manakala adik perempuannya ditumbuk seorang lelaki pada 14 Oktober lalu.

Menurut Safarizal, berlaku provokasi terus menerus termasuk cubaan membuka dan mengetuk pintu selain menjerit dengan pelbagai tohmahan ketika pertemuan bersama Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional.

“Semasa saya membuka pintu bilik dewan berlaku rempuhan daripada luar dan berlaku tolak menolak dan pergelutan,” katanya.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Pengerusi AMANAH Perak, Asmuni Awi telah membuat laporan polis pada hari kejadian berkaitan insiden di Hotel Rivertel, Teluk Intan itu.

“Saya telah membuat laporan polis berkaitan kejadian ini dan menyerahkan pihak polis untuk membuat siasatan dan saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Saya juga melantik peguam untuk mengendalikan kes ini sehingga selesai,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, portal Berita Perak menyiarkan klip rakaman video berdurasi 13 saat yang menggambarkan provokasi terbabit sebelum berlaku rempuhan masuk ke bilik mesyuarat bagi siasatan kes pendaftaran cawangan palsu.

“Aku paling marah sekali dengan Yati Bidin. Kalau dia berani, dia keluar,” pekik seorang wanita di balik pintu diikuti ketukan kuat di pintu itu.

Untuk rekod, Yati iaitu Norhayati Bidin merupakan Timbalan Setiausaha Agung AMANAH Nasional.

Selain Norhayati, tiga lagi Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional turut berada di tempat kejadian iaitu Datuk Dr Hassan Baharom, Hu Pang Chau dan Wan Kharizal Wan Khazim yang juga Pengerusi AMANAH Perlis.

Dalam hal berkaitan, polis mengesahkan telah menerima laporan daripada wanita terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

 

Berikut adalah penjelasan penuh oleh Safarizal:

“Saya dan Abu Bakar Abdul Hamid ditugaskan oleh AMANAH Negeri Perak untuk membantu Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional menjalankan sesi temuduga terhadap pihak-pihak yang terlibat di Teluk Intan pada 14 Oktober 2020 di Hotel Rivertel, Teluk Intan.

“Terdapat dua sesi masa temuduga tersebut iaitu jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari dan jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, sesi pertama difahamkan terdapat 4 orang tetapi hanya 2 orang sahaja yang hadir.

“Manakala sesi kedua sepatutnya 6 orang tetapi terdapat 2 orang di sesi pertama telah diminta hadir ke sesi kedua yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 8 orang. Namun, sekitar jam 8.15 malam masih tiada kelihatan mana-mana yang terlibat hadir.

“Pihak Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional meminta saya turun ke lobi hotel jika ada yang sudah hadir untuk sesi temuduga yang telah dijadualkan. Apabila saya turun kelihatan sekumpulan di antara 10-12 orang berada di sudut tepi lobi hotel dan saya telah meminta pihak yang terlibat untuk naik.

“Apabila sekumpulan mereka yang terlibat naik bersama beberapa orang yang tidak terlibat juga turut naik, pihak Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional telah menjelaskan senarai yang terlibat tetapi berlaku pertikaian mulut antara mereka.

“Akhirnya, pihak Jawatankuasa Aduan Nasional meminta seorang daripada yang terlibat iaitu Ustaz Alias Ali yang mengaku berada dalam senarai untuk masuk dahulu, berlaku provokasi di luar dewan dan saya meminta agar pintu dikunci sehingga selesai sesi temuduga tersebut.

“Provokasi terus dilakukan dengan cubaan membuka pintu, mengetuk pintu dan menjerit dengan pelbagai tomahan. Selepas hampir 30 minit sesi Ustaz Alias selesai dan ingin keluar ,saya telah mengiringi beliau.

“Semasa saya membuka pintu bilik dewan berlaku rempuhan daripada luar dan berlaku tolak menolak dan pergelutan.

“Saya berusaha untuk menyekat mereka yang berada di luar dewan untuk masuk secara agresif ke dalam dewan kerana belum ada arahan daripada Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional siapakah yang akan dipanggil seterusnya.

“Saya ditarik oleh Abu Bakar untuk menenangkan saya dan akhirnya semua sekumpulan yang berada di luar dewan telah masuk ke dalam dewan dan membuat provokasi terhadap Jawatankuasa Aduan AMANAH Nasional sehingga berlaku pertengkaran.

“Salah seorang daripada mereka turut membaling botol mineral ke arah saya namun telah terkena Abu Bakar dan akhirnya mereka beredar dari dewan tersebut.

“Saya telah membuat laporan polis berkaitan kejadian ini dan menyerahkan pihak polis untuk membuat siasatan dan saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Saya juga turut melantik peguam untuk mengendalikan kes ini sehingga selesai.”